Syiar Islam terus berkembang

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Syiar Islam di negara ini semakin berkembang apabila sebuah keluarga  Filipina melafazkan Dua Kalimah Syahadah hari ini.

Rosalie Sumaljag Germano, 43 tahun, Eric Chia Chien Voon, 13 tahun, David Ong Germano, sembilan tahun, Michael Chia Chiew Hee, enam tahun telah melafazkan ikrar pengislaman mereka di hadapan pegawai dari Unit Pengislaman, Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) pada majlis pengislaman di kediaman Rosalie Sumaljag di Rancangan Perumahan Negara Tanah Jambu.

Mereka masing-masing memilih nama Islam sebagai Siti Maryam binti Abdullah Germano, Muhammad Syafiq Chua bin Muhammad Syafie, Mohammad Syakir Chua bin Muhammad Syafie dan Muhammad Mirza Chua bin Muhammad Syafie.

Hadir menyaksikan majlis pengislaman berkenaan ialah pegawai-pegawai, ahli keluarga terdekat dan jemputan khas.

Majlis pengislaman berkenaan diraikan dengan laungan takbir dan diikuti dengan bacaan selawat dan Doa Selamat.

Menurut kenyataan PDI, semenjak Januari 2018 hingga November 2018, seramai 359 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara.

Manakala sepanjang tahun 2017 menunjukkan seramai 409 orang telah memeluk agama Islam seluruh negara.

Dayang Siti Maryam ketika melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman di rumah beliau.