‘Syiling bersih’ bantu jaga alam sekitar

HAIFA – Semasa dia berjalan bersama anjing peliharaannya, Luna berhampiran bandar utara Haifa, Elishya Ben Meir mengumpul sampah yang telah dilaporkan melalui aplikasi baharu yang mengubah sampah jadi barangan.

Untuk setiap beg yang dia isi di lembah berhampiran rumahnya, dia menerima sekitar 10 ‘Syiling Bersih’, mata wang maya yang boleh ditebus untuk barangan daripada perniagaan yang ikut serta.

Skim hijau itu bertujuan untuk menggalakkan penduduk mengutip sampah di negara yang disenaraikan tertinggi di kalangan pengeluar sampah per kapita di dunia.

“Sebaik sahaja saya keluar ke lembah, saya melihat sampah di mana sahaja,” kata Ben Meir, 18.

“Orang ramai minum, barbeku dan meninggalkan semua sampah mereka di luar. Ia benar-benar tidak menyenangkan.”

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif, Gal Lahat menunjukkan laman sesawang syarikat ketika di temu bual. – AFP

Sebelum membuang beg sampahnya ke dalam tong sampah berdekatan, Ben Meir mengambil gambar hasil pengumpulan hari itu, yang bernilai sekitar 30 Syiling Bersih. “Setiap titik hitam pada peta mewakili sisa sampah yang dilaporkan oleh pengguna,” kata Adam Ran, 35, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Clean Coin, menunjukkan aplikasi itu di pejabatnya di bandar pelabuhan utara Haifa.

“Dengan melihat gambar, saya benar-benar dapat melihat jumlah sampah, di mana terletaknya sampah itu, berapa banyak beg yang diperlukan untuk mengutipnya dan jumlah kredit.”

Syarikat itu berkata lebih daripada 16,000 pengguna telah mendaftar, di mana kira-kira 1,200 daripadanya aktif setiap minggu.

Gal Lahat, 21, pengasas bersama dan pengarah teknikal, berkata dia mereka bentuk aplikasi itu untuk nampak lebih menarik dan seronok, dengan pengguna memperoleh mata dan mencapai tahap yang berbeza.

“Awda boleh melihat kemajuan awda berbanding pengguna lain, tetapi juga apabila awda mencari sampah di lapangan, kami ingin ia kelihatan seperti permainan,” kata Lahat.

Habuan itu menambah insentif untuk orang ramai keluar dan membersihkan kawasan, katanya.

“Alam semula jadi mendapat manfaat daripadanya dan saya juga mendapat faedah peribadi kecil untuk diri saya sendiri yang memberi saya motivasi,” kata Ben Meir, sebelum dia menukar Syiling Bersihnya dengan baju di cawangan Haifa di kedai luncur Billabong.

Syiling Bersih bukanlah mata wang kripto, dengan ‘perlombongan’ syiling intensif tenaga yang memerlukan kuasa komputer yang besar. Sebaliknya, ia adalah sejenis baucar untuk memberi ganjaran kepada kutipan sampah.

Lebih daripada 25 jenama telah menyertai rangkaian itu, kata Ran, membenarkan pengguna menebuh syiling untuk pakaian, pendakian indoor dan penginapan hotel, antara pilihan lain.

Beberapa pasar raya bersedia untuk menyertainya, tambahnya.

Mata wang maya ini di subsidi oleh beberapa organisasi swasta dan awam, khususnya majlis perbandaran dan majlis wilayah yang melihat Clean Coin sebagai alat untuk mengoptimumkan pengurusan sisa.

“Semua orang mempunyai minat mengenainya,” kata Ran. – AFP