Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Syiling kenang-kenangan Jambatan SHOAS unik

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Bersempena memperingati penamaan rasmi Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) akan mengeluarkan duit syiling kenang-kenangan berbentuk emas, perak dan kupronikel, yang sah diperlakukan di Negara Brunei Darussalam.

    Empat jenis duit syiling kenang-kenangan itu terdiri daripada Duit Syiling Emas Edisi Khas 1, Duit Syiling Emas Edisi Khas 2, Duit Syiling Perak dan Duit Syiling Kupronikel.

    Perkara itu dikongsikan oleh Pengarah Eksekutif, Pengurusan Mata Wang BDCB, Pengiran Maslina binti Pengiran Haji Mahmud semasa sidang media di BDCB Currency Gift Shop, Kompleks Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, pagi tadi.

    Beliau menjelaskan, bagi Duit Syiling Emas Edisi Khas 1, pada muka hadapannya memaparkan wajah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan bersempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta pada 5 Oktober 2017.

    “Manakala reka bentuk muka belakang duit syiling ini pula menggambarkan jambatan dua lorong dua hala yang menghubungkan Daerah Brunei dan Muara ke Daerah Temburong dari Jalan Kota Batu dengan merentasi Teluk Brunei dan hutan paya bakau sehingga Jalan Labu. Duit Syiling Emas Edisi Khas 1 ini mempunyai nilai muka $300 dengan harga jualan $4,000,” kongsinya lanjut.

    Duit Syiling Emas Edisi Khas 1 ini mempunyai nilai muka $300 dengan harga jualan $4,000.
    Pengiran Maslina semasa sidang media bagi pelancaran duit syiling kenang-kenangan sempena penamaan rasmi Jambatan SHOAS, kelmarin.
    Empat jenis duit syiling kenang-kenangan yang diperkenalkan sempena penamaan Jambatan SHOAS.

    Bagi Duit Syiling Emas Edisi Khas 2 pula, ia memaparkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama ayahanda Baginda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada muka hadapannya.

    Reka bentuk muka belakang dan nilai muka serta harga jualan duit syiling jenis berkenaan adalah sama seperti Duit Syiling Emas Edisi Khas 1.

    Duit Syiling Perak pula mempunyai reka bentuk muka hadapan yang sama dengan Duit Syiling Emas Edisi Khas 1.

    Reka bentuk muka belakangnya pula, mempamerkan jambatan kabel penahan merentasi laluan perkapalan timur ataupun eastern channel iaitu jambatan yang mempunyai pelepasan navigasi bagi kemudahan laluan kapal-kapal besar. Duit syiling ini mempunyai nilai muka $30, dengan harga jualan $300.

    Duit Syiling Kupronikel juga mempunyai reka bentuk muka hadapan yang sama dengan Duit Syiling Emas Edisi Khas 1 dan Duit Syiling Perak.

    “Reka bentuk muka belakangnya pula mempamerkan menara Jambatan SHOAS berdasarkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) Negara Brunei Darussalam yang mana bentuk bulan sabit dan bintang adalah lambang negara Islam, tiga kalimah untuk sentiasa mengingati Allah SWT manakala bentuk permata menunjukkan empat daerah bersatu melambangkan kekukuhan Negara Brunei Darussalam.

    “Duit syiling ini diperbuat daripada kupronikel, dan mempunyai nilai muka $3, dengan harga jualan $110,” ujarnya.

    Pengiran Maslina memaklumkan jualan bagi duit syiling kenang-kenangan berkenaan akan mula dibukakan kepada orang ramai bermula 8 November.

    Ia boleh didapati di BDCB Currency Gift Shop, Tingkat 1, Bangunan Brunei Currency and Monetary Board (BCMB), Kompleks Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Bagi orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut boleh melayari laman web BDCB, www.bdcb.gov.bn atau melalui akaun Instagram BDCB, @centralbank.brunei.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    2 ditahan lepaskan tembakan ke rumah bintang Bollywood

    AHMEDABAD, 16 APRIL – Dua anggota kumpulan penjenayah terkenal ditahan polis India hari ini kerana melepaskan tembakan ke arah rumah pelakon Bollywood, Salman Khan...