Tuesday, October 8, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syria adakan pilihan raya

    DAMSYIK, 16 Sept – Pengundian bermula hari ini di bahagian Syria yang dikawal oleh kerajaan bagi pilihan raya tempatan pertama sejak 2011, menurut agensi berita negara SANA.

    Pusat undian dibuka pada jam 7 pagi waktu tempat dan dijangka dibuka selama 12 jam.

    “Pusat pengundian terbuka bagi rakyat untuk membuang undi mereka bagi memilih wakil mereka di dewan undangan tempatan,” kata SANA.

    “Lebih daripada 40,000 calon bertanding untuk 18,478 kerusi di seluruh wilayah,” katanya.

    Siaran televisyen negara Syria menyiarkan rakaman para pengundi membuang undi mereka ke kotak plastik di sekitar Damsyik dan di benteng-benteng kerajaan, Tartus dan Latakia, sambil diperhatikan oleh pegawai-pegawai undian.

    Seorang wanita mewarnakan jari telunjuknya selepas membuang undi bagi pilihan raya tempatan di pusat pengundian Ghouta Timur, luar bandar ibu negara Damsyik, kelmarin. – AFP

    Tentera Syria kini menguasai dua pertiga negara itu setelah berjaya dalam beberapa siri serangan beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk di sekitar Damsyik dan di selatan negara itu.

    Pengundian dijangka diadakan di beberapa kawasan yang dirampas semula.

    Bilangan kerusi telah meningkat sedikit daripada kira-kira 17,000 yang dibukakan dalam pilihan raya yang lalu, kerana kampung-kampung yang lebih kecil telah dinaikkan ke majlis perbandaran yang penuh.

    Majlis-majlis beroperasi di peringkat perbandaran, dan wakil-wakil yang baharu yang bakal dipilih dijangka mempunyai lebih banyak tanggungjawab daripada sebelum ini, terutamanya dalam hal ehwal pembinaan semula dan pembangunan bandar.

    Kali terakhir Syria mengadakan pilihan raya tempatan ialah pada Disember 2011, sembilan bulan dari masa konflik itu mula tercetus.

    Ia mengadakan pilihan raya parlimen pada tahun 2016 dan satu pilihan raya presiden pada tahun 2014 yang dimenangi oleh Presiden Bashar al-Assad dan membolehkan beliau untuk memerintah selama tujuh tahun lagi.

    Di Damsyik, poster pilihan raya kebanyakannya memaparkan penyandang disenaraikan di dataran awam, termasuk di Bandar Lama.

    Seorang penjawat awam Mohammad Kabbadi, 42, membuang undinya di daerah Bab Sharqi di ibu negara untuk memilih calon dari kampungnya.

    “Saya tahu siapa yang akan saya undi. Dia muda, aktif dan kemenangannya akan membawa perkara yang baik kepada penduduk di kawasan ini,” kata Kabbadi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda