Syria bergelap setelah saluran paip gas diserang

DAMSYIK, 24 OGOS – Kerajaan Syria hari ini menyalahkan serangan ‘pengganas’ di saluran paip gas dekat Damsyik, yang menyebabkan kegelapan di seluruh negara itu, dalam dakwaan serangan terbaharu ke atas infrastruktur tenaganya.

Menteri elektrik sementara, Zuhair Kharboutli berkata, letupan saluran paip gas di kawasan Damsyik kelmarin menyebabkan jana kuasa elektrik di seluruh Syria terputus, menurut agensi berita negara SANA. Menteri sumber minyak dan mineral sementara, Ali Ghanem, mengatakan letupan saluran paip gas, antara Adra dan Dmeir, adalah hasil serangan ‘pengganas’, tetapi tidak memberikan perincian lebih lanjut.

SANA menunjukkan gambar-gambar anggota bomba yang berusaha memadamkan api, diikuti dengan gambar-gambar sebuah saluran paip gas di darat yang hancur dan sebahagian besarnya musnah.

Penduduk Damsyik memberitahu AFP bahawa mereka bangun pada hari ini tanpa bekalan elektrik di kediaman mereka.

Menteri elektrik mengatakan beberapa stesen jana kuasa telah disambungkan semula dan bekalan elektrik disediakan untuk infrastruktur penting, sambil menambah bahawa pada waktu subuh elektrik secara beransur-ansur kembali di beberapa wilayah.

“Bekalan elektrik mulai pulih di beberapa wilayah pen-ting di Damsyik termasuk hospital dan beberapa kawasan perumahan,” katanya.

Kerajaan Damsyik yang disokong oleh Rusia dan Iran pada 2018 mengusir pemberontak dan anggota jihad terakhir dari Dmeir, sebuah bandar sekitar 40 kilometer (25 batu) timur laut Damsyik. – AFP