DAMSYIK, 15 Feb – Kerajaan Syria semalam menafikan yang ia memiliki senjata kimia dan menyelar ‘penggunaan senjata seumpama itu sebagai ‘tidak bermoral dan tidak dapat diterima,’ ekoran amaran Perancis terhadap serangan punitif.
Ketika Damsyik menolak keraguan terhadap serangan klorin ke atas kawasan yang dikuasai pemberontak termasuklah Timur Ghouta yang dikepung, konvoi bantuan pertama sejak November telah memasuki kawasan yang diserang itu berdekatan ibu negara.
Bulan hadapan, peperangan di Syria akan memasuki tahun kelapannya dalam usaha diplomatik yang masih menghadapi kebuntuan ketika keganasan melanda negara itu.
“Kerajaan Syria sekeras-kerasnya menafikan memiliki senjata kimia,” kata Timbalan Menteri Luar Faisal Mekdad, yang dipetik sebagai berkata oleh agensi berita kerajaan, SANA.
“Kami menganggap penggunaan senjata seumpama itu sebagai tidak bermoral dan tidak dapat diterima, walau dalam apa pun konteks.”
Selasa lalu Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran bahawa negaranya akan melancarkan serangan jika terbukti rejim Syria menggunakan senjata kimia yang diharamkan ke atas orang awam.
Perkara ini ditegaskan semula semalam oleh menteri luarnya, Jean-Yves Le Drian yang bercakap mengenai “serangan tentera” sekiranya serangan baharu kimia dilancarkan “memandangkan serangan ini membawa maut dan telah terbukti rejim ini bertanggungjawab terhadapnya.”
Menurut Washington kira-kira enam serangan klorin dilaporkan sejak awal bulan lalu di kawasan yang dikuasai pemberontak, yang mengakibatkan berpuluh-puluh orang cedera.
Bulan lalu, Damsyik juga menafikan telah melancarkan serangan kimia dan
sekutunya Moscow menyelar dakwaan seumpama itu sebagai ‘kempen pro-paganda’ dengan menekankan dalang-dalangnya sebagai belum dikenal pasti. – AFP