Systematic Living terus melangkah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Systematic Living, syarikat tempatan yang tidak asing lagi dalam menawarkan perkhidmatan reka bentuk dalaman, kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pembukaan cawangan terbarunya, hari ini, yang menyediakan pelbagai barangan dan kelengkapan perabot rumah.

Cawangan yang terletak di Berakas tersebut merupakan cawangan sulung syarikat berkenaan yang menawarkan pelbagai produk.

Semasa ditemui pihak Media Permata, pengasas bersama Systematic Living, Sun Jenn Hwan dan Victor Wan menyatakan bahawa syarikat yang mula ditubuhkan pada 2016 berkenaan sebelum ini hanya menumpukan terhadap reka dalaman rumah sahaja.

Namun dengan permintaan yang berterusan daripada pelanggan, akhirnya mereka memilih untuk membuka cawangan yang menyediakan beberapa peralatan perabot rumah yang diperlukan bagi para pelanggan Systematic Living di negara ini.

Dengan pembukaan cawangan berkenaan, Systematic Living terus bertekad dan komited dalam meningkatkan kualiti, mutu kerja dan perkhidmatan mereka bagi memenuhi kehendak semua pelanggan.

Para pelanggan kini boleh memilih sendiri aksesori serta peralatan perabot yang mereka ingin gunakan dalam merealisasikan rumah idaman. Pelbagai barangan bermutu tinggi yang didatangkan dari luar negara kini boleh didapatkan di Systematic Living pada harga yang berpatutan.

Pengasas Systematic Living bergambar ramai bersama para kakitangan syarikat berkenaan pada majlis pembukaan cawangan terbaharunya di Berakas.