Tuesday, September 26, 2023
25.6 C
Brunei

    -

    Syukur dapat beramal melalui kempen derma darah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Sebanyak 15 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah anjuran Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Jabatan Perkhidmatan Makmal di Kompleks Membeli-belah Mabohai, hari ini.

    Wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual dua orang penderma darah, Dayang Tuti Alawiyah binti Dala Sayfe’i yang melahirkan syukur kerana berpeluang sekali lagi menderma darah selepas pandemik COVID.

    Menurutnya, sejak 2019 apabila COVID melanda, dia berhenti dari menyertai kempen menderma darah dan baru hari ini berkesempatan menyambung kembali, ini merupakan penyertaannya kali ketujuh.

    Beliau turut menjelaskan menderma darah membuatkan badannya terasa segar, namun apabila ditanya tip pemakanan, beliau mengatakan hanya makan seperti biasa.

    Seorang lagi penderma darah, Awang Mohd Selani bin Mat Salleh yang pertama kali menderma darah, teruja apabila datang awal dari jam 8 pagi lagi, meskipun kempen bermula jam 10 pagi.

    Awang Mohd Selani
    Dayang Tuti

    Menurutnya, beliau sudah lama berhasrat menderma darah, namun disebabkan keraguan kerana beliau mengambil ubat tekanan darah tinggi, beliau memendamkan sahaja hasratnya.

    Dengan semangat kuat mahu menderma darah, beliau mencuba kali ini dan bersyukur akhirnya beliau dapat melakukannya dan proses pemeriksaan kesihatan berjalan lancar.

    “Melalui pengalaman pertama ini, ia akan menjadi pembakar semangat untuk terus cuba membantu mereka yang memerlukan terutama bagi yang amat memerlukan darah pada waktu kecemasan kerana ini akan menjadi salah satu amal jariah saya kepada masyarakat,” tambahnya.

    Sementara wakil dari Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS ketika ditemui menjelaskan, bagi mereka yang memakan ubat dan berhasrat untuk menderma darah tetapi masih ada keraguan, mereka boleh menghantar pertanyaan ke hotline Pusat Pendermaan Darah di talian 8775745 atau 7375745 pada waktu bekerja.

    Beliau turut menegaskan bagi mereka yang memberi maklumat dan keterangan palsu, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Bab 11 Akta Penyakit-penyakit Berjangkit (Penggal 204) bagi mana-mana orang yang menderma darah atau produk darah di mana-mana tabung darah atau hospital di Negara Brunei Darussalam dan memberikan maklumat material palsu atau mengelirukan boleh dikenakan denda.

    “Denda tidak melebihi $20,000, hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

    Kempen seumpama ini akan diteruskan lagi pada 14 September di Dewan Serba guna Balai Polis Berakas dari pukul 9 pagi hingga 11:30 petang seterusnya di Tingkat 1, Kompleks Annajat, Beribi akan diadakan pada 15 September dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

    Sementara di Lantai Bawah, Pusat Membeli-belah Times Square, Berakas anjuran imagine Sdn Bhd akan diadakan pada 17 September dari pukul 10 pagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun lulus ubat Alzheimer oleh Eisai & Biogen

    TOKYO, 26 SEPT - Kementerian kesihatan Jepun pada kelmarin meluluskan pengeluaran dan penjualan ubat untuk penyakit Alzheimer yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun Eisai...