Syukur kerajaan benarkan penggambaran lepas raya, pengarah janji patuhi SOP

Keputusan kerajaan memberi lampu hijau kepada industri perfileman untuk meneruskan aktivitinya selepas Aidilfitri disambut baik oleh penggiat seni tempatan antaranya penerbit dan pengarah, Shuhaimi Lua.

Menurut Shuhaimi, kelonggaran yang diberikan itu merupakan satu hadiah yang cukup bermakna buat pengkarya seni meneruskan kerjaya mereka seperti biasa setelah dua bulan hilang pendapatan.

“Alhamdulillah… saya baru tahu malam tadi apabila Presiden, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) iaitu Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London memaklumkan dalam group Whatsapp.

“Sesungguhnya rasa sangat bersyukur kalau benar bagai dikata kerana kami semua dapat mencari rezeki semula selepas dua bulan lebih kerja tertangguh kerana penularan wabak Covid-19.

“Apa yang lebih saya prihatin ialah mengenai pendapatan mereka yang bekerja dalam bidang ini, ramai yang tak ada pendapatan. Lebih-lebih lagi wabak ini datang tanpa dijangka, semua orang tak sangka jadi begini,” katanya kepada mStar.

Pengarah sambut baik keputusan kerajaan membenarkan penggambaran dilakukan selepas Aidilfitri. – Agensi

Pada Selasa lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan kebenaran meneruskan aktiviti seni telah diluluskan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, penggiat seni haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang penggambaran itu berlangsung bagi membendung penularan virus berkenaan.

Justeru itu, Shuhaimi berkata mereka akan mengikut SOP yang digariskan dan tidak akan mengabaikan saranan kerajaan itu.

“Kita akan ikut segala saranan dan peraturan serta berjanji tidak akan hampakan kerajaan… apa yang boleh dan tidak boleh!

“Kalau tak boleh pegang-pegang… kita akan ikut, penonton pun diharap dapat faham kalau ada babak berborak tapi jauh-jauh, itu maksudnya kita sedang shoot di waktu pandemik ini.

“InsyaAllah selepas ini kita akan teruskan penggambaran drama Rudy vss Jolie yang baru sempat shooting dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)… sepatutnya telefilem raya Balik Kampung Dah Tak Lonely ditayangkan Aidilfitri ini tapi tak sempat nak shoot!,” ujarnya. – Agensi