Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Syukuri kedatangan awal tahun hijrah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Kedatangan awal tahun Hijrah 1444 terus disambut oleh pelbagai peringkat di Negara Brunei Darussalam dengan rasa syukur di atas limpahan rahmat yang telah dinikmati sehingga hari ini.

    Kumpulan Nur Rahmah juga tidak ketinggalan dalam sama-sama menyemarakkan lagi kedatangan awal tahun Hijrah 1444 dengan mengadakan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Rimba Hill, RPN Kampung Rimba, baru-baru ini.

    Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas melengkapkan bacaan 30 juzuk yang mana Kumpulan Nur Rahmah merupakan Halaqah ke-5 dan buat julung kalinya akan menyertai Majlis Khatam Al-Quran 76 kali khatam anjuran Pertubuhan Wargamas sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun.

    Penganjur majlis, Haji Abdul Jamal bin Haji Abdul Rahman ketika ditemui melahirkan rasa gembira atas kerjasama semua ahlinya yang telah dapat mengendalikan majlis berkenaan sebagai rasa kesyukuran di samping sebagai peluang untuk mengeratkan lagi hubungan mesra dan kekeluargaan.

    “Majlis yang penuh berkat ini, sudah tentu dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan semua ahli tadarus yang sebelum ini mengadakan tadarus secara maya.

    Kumpulan Nur Rahmah yang diraikan pada majlis khatam Al-Quran berkenaan.

    “Peluang bersemuka pada majlis ini adalah rahmat kurnia Allah SWT untuk semua ahli yang mengadakan majlis khatam secara bersemuka,” ujarnya.

    Beliau seterusnya berharap, semua ahli akan terus istiqamah untuk terus mempelajari, membaca dan mengikuti ajaran-ajaran Al-Quran sebagai pembimbing dan penyuluh dalam kehidupan yang lengkap.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat lazim, takhtim dan doa khatam.

    Majlis diserikan dengan laungan Dikir Maharban oleh peserta-peserta khatam yang selajurkan dengan majlis meraikan ahli-ahli Kumpulan Nur Rahmah yang baru pulang daripada menunaikan fardu haji pada tahun ini.

    Bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Memohon Perlindungan daripada Wabak COVID-19 mengakhiri majlis.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...