Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Syukuri Kemerdekaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Negara Brunei Darussalam akan menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada 23 Februari ini, maka dari itu khatib menyeru agar penduduk di negara ini untuk hadir ke masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada petang 22 Februari ini.

    “Ia adalah bagi sama-sama menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara,” kata khatib pada khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan’.

    Menurutnya, acara itu adalah bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah atas nikmat kemerdekaan negara yang tercinta bersempena dengan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-38.

    Terdahulu, khatib mengingatkan kemerdekaan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini bukan saja merupakan satu nikmat tapi ia juga satu bentuk ujian.

    “Ingatlah sekiranya kita lalai dan leka atau tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah, tidak mustahil nikmat itu akan hilang pada bila-bila masa saja, kerana semua nikmat yang dimiliki hanya pinjaman semata-mata,” ujarnya.

    Adalah menjadi satu kewajipan untuk sentiasa mensyukuri dan mengharap supaya nikmat Allah ini sentiasa berkekalan.

    Katanya lagi, “Ada pun bersyukur itu ialah berterima kasih kepada Allah yang memberikan nikmat dengan menggunakan nikmat itu sebaik-baiknya, tidak mensia-siakannya dan tidak menyalahgunakannya.”

    Kemerdekaan yang sudah dicapai lebih tiga dekad lalu, jelasnya, telah dimasyhurkan dan disambut atas nama Allah SWT dengan laungan takbir ‘Allahu Akbar’, mengagungkan kebesaran dan kekuasaan Allah yang dipimpin dan dilaungkan oleh paduka ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien diikuti laungan seluruh rakyat memuji kebesaran Ilahi.

    Dengan berkumandang laungan takbir yang menjadi simbol kemenangan umat Islam itu, lahirlah Negara Brunei Darussalam dengan nikmat kemerdekaan yang benar-benar dapat dirasakan oleh seluruh rakyat dan penduduknya hingga ke hari ini.

    Khatib seterusnya mengimbas kembali sejarah kemerdekaan negara pada detik pengisytiharan kemerdekaan 1 Januari 1984 adalah tarikh bermula Brunei mengambil alih semula tanggungjawab antarabangsa sepenuhnya dan rasmilah Brunei menjadi sebuah negara penuh berdaulat lagi merdeka.

    “Negara kita yang tercinta ini sedang dan terus berkembang maju dan pesat dalam banyak bidang.

    “Kemajuan atau perkembangan itu dapat dilihat dan dirasakan ialah selain pembangunan prasarana seperti jalan raya, perumahan, tambahnya, negara juga sedang giat dalam hal ehwal ekonomi dan kewangan, kemajuan serta pencapaian ilmu dan kemahiran oleh anak-anak bangsa melalui pengajian tinggi dalam dan luar negara.

    “Kita sebagai rakyat terus dapat menikmati dasar-dasar kebajikan negara yang berkat iaitu perkhidmatan percuma bagi kesihatan, pelajaran serta pengurniaan subsidi dalam beberapa keperluan pemakanan asasi dan perkhidmatan bekalan air bersih dan elektrik termasuk minyak petrol,” tambahnya.

    Menurutnya, dasar-dasar yang berkeberkatan itu telah membawa negara dan rakyat khasnya nikmat hidup aman sejahtera, bersatu padu dengan harmoni bagi semua lapisan rakyat dan penduduk yang berbilang bangsa dan kaum serta berlainan kepercayaan agama.

    Katanya lagi, “Ini semua adalah nikmat Allah yang melimpahkan rahmat kepada negara dan rakyat di bawah pemerintahan beraja yang adil lagi bijaksana dengan teguh berpegang kepada ajaran Islam yang didaulatkan menjadi agama rasmi negara.”

    Dengan dasar yang berkeberkatan dan berpandukan kepada ajaran dan ilmu agama itu, raja kita yang adil mendapat berkat, rakyat yang taat mendapat rahmat dan negara yang aman kekal selamat dan berdaulat.

    Tema hari kebangsaan pada tahun ini ‘Menjayakan Wawasan Negara’, wawasan negara 2035 adalah gagasan Baginda Sultan di mana pandangan Baginda yang jauh ke hadapan memastikan negara Brunei menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, kehidupan yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Ke arah mencapai dan memastikan wawasan tersebut dapat dicapai dengan jayanya, kita hendaklah menanamkan rasa cinta kepada agama, raja dan bangsa, bersatu padu dan bersatu hati untuk taat setia kepada raja dan negara, menjunjung tinggi ajaran agama Islam dengan penuh iltizam.

    Menurut khatib lagi, setiap rakyat dan penduduk di bumi Darussalam yang bertuah ini perlu bersama-sama berganding bahu, menggembleng tenaga, mengambil peranan dan menjadikan diri sebagai aset yang berguna dalam usaha untuk membangunkan negara bagi mencapai matlamat wawasan 2035.

    Sesungguhnya keamanan hidup dan keamanan negara itu akan lebih berkesan apabila rakyat dan penduduk di sebuah negara itu sentiasa mengingati Allah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...