Syukuri kepulangan pasukan pengaman

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Bagi memberkati kepulangan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) yang menyertai kumpulan ke-15 Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) dan misi pengaman bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di bawah Malaysian Battalion (MALBATT 850-6), majlis Doa Kesyukuran telah diadakan di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, para pengarah, pegawai-pegawai kanan dan anggota dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Kumpulan IMT ke-15 yang melibatkan tujuh orang anggota ABDB dan seorang anggota PDB dengan diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Rizal bin Haji Abdul Hadi telah kembali ke tanah air pada 6 September 2019.

Manakala itu, anggota ABDB seramai 29 orang yang mengikuti misi pengaman bagi Pasukan UNIFIL di bawah MALBATT 850-6 dengan diketuai Mejar Daud bin Etim kembali ke tanah air pada 10 November 2019.

Majlis telah dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Imam Surau Ad-Difa’, Awang Shuib bin Haji Abdullah.

Majlis kesyukuran yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.