Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Syukuri nikmat dunia

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Nikmat-nikmat dunia adalah rahmat daripada Allah SWT kepada semua makhluk, bukan hanya kepada manusia sahaja, malah juga kepada jin.

    “Semua nikmat di dunia akan hancur di hari akhirat. Nikmat akhirat hanya bagi orang-orang yang bertakwa iaitu syurga. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengucapkan rasa syukur dan puji-pujian kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat yang sangat banyak kepada semua makhlukNya.”

    Demikian antara huraian intisari dan pengajaran ayat daripada Tadabbur Al-Quran, Surah Ar-Rahman yang disampaikan oleh Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya semasa Program Malam Munajat anjuran Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Ikut sama menyerikan acara ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi.

    Acara Munajat Khas untuk Wanita itu turut mengundang Naib Ra’es II Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar (WAAG) Brunei Darussalam, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad selaku tetamu khas, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau UNISSA.

    Mengimarahkan lagi acara ialah ahli-ahli WAAG Brunei Darusaalam, Muslimah Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam serta Muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid dan balai ibadat di seluruh negara. Juga menyertai ialah warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan jabatan-jabatan serta bahagian-bahagian di bawahnya.

    Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, merafakkan serta mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.

    Datin Hajah Nahriah semasa menyertai program Malam Munajat yang diadakan secara dalam talian. – Gambar serahan KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Iran ketatkan kawalan ke atas sekolah antarabangsa

    TEHRAN, 4 OKT - Ia merupakan permulaan penggal baharu di Iran tetapi tahun ini ia menyayat hati bagi pelajar di sekolah antarabangsa selepas keputusan...