Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Syurga adalah ganjaran yang dijanjikan oleh Allah S.W.T bagi orang-orang yang beriman dan beramal salih.
Untuk mendapatkan ganjaran syurga itu, setiap Muslim hendaklah menjadi orang yang beriman dan beramal salih dengan benar-benar ikhlas terhadap Allah S.W.T dan sentiasa bertakwa kepada Allah iaitu dengan mentaati segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya.
Perkara berkenaan antara yang diketengahkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid semasa menyampaikan Tazkirah Subuh bagi Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.
Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah serta pegawai-pegawai dari KHEU.
Dalam tazkirah bertajuk ‘Jalan Menuju Syurga’ itu, Haji Harun juga menyentuh mengenai umat Islam harus mentaati apa-apa yang dibawa dan diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.

Beliau berkata, Al-Quran dan As Sunnah banyak mengajarkan jalan-jalan atau cara-cara untuk mendapatkan ganjaran syurga seperti berjihad di jalan Allah dengan pengorbanan jiwa dan harta, menuntut ilmu, membina masjid, pergi ke masjid untuk beribadah atau menghadiri majlis ilmu, mengerjakan ibadah haji dan mendapat haji yang mabrur, membantu anak-anak yatim dan orang-orang yang susah, sentiasa beristighfar dan bertaubat dan lain-lain lagi amal salih sama ada yang berbentuk ibadah-ibadah tertentu serta perkara-perkara yang berkebajikan.
Kesimpulannya, orang yang beriman akan sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya dengan melakukan amal salih dalam kehidupan sehariannya dengan penuh ikhlas. Di samping itu akan sentiasa berdoa dan berharap bahawa segala amal ibadat dan amal kebajikan akan diterima oleh Allah S.W.T dan seterusnya akan mendapat ganjaran syurga dari Allah S.W.T.
Program mingguan kelolaan KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien itu bertujuan mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah iaitu secara terus menerus mendirikan Solat Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.
‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara ‘Bandarku Ceria’ yang berlangsung setiap minggu yang di Bandar Seri Begawan memulakan hari mereka dengan meraih keberkatan dengan menunaikan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang serta ceramah tazkirah.
Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa kekeluargaan dan persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.