Friday, October 11, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    T Anthony Beram, pelari pecut pintar

    KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Bukan sahaja memiliki kelajuan, T Anthony Beram dari Filipina yang baharu dinobatkan sebagai jaguh 200 meter lelaki pada Sukan SEA ke-29 merupakan seorang yang pintar.

    Pelajar berumur 21 tahun yang mengambil jurusan matematik di University of Connecticut di Amerika Syarikat itu seorang pelajar yang pintar dengan sentiasa mengekalkan pencapaian cemerlang GPA (Purata Nilai Gred) 3.90 setiap semester.

    Bapa pelari itu, Glen Beram, 47, yang merupakan guru Matematik berkata beliau rasa bangga dengan anaknya itu yang mampu cemerlang dalam akademik dan juga dalam sukan.

    Glen, yang sanggup datang ke sini dari New York bersama-sama isteri dan dua lagi anaknya amat gembira selepas menyaksikan saat bersejarah dicipta anaknya itu di Stadium Nasional malam tadi.

    “Ia perasaan yang paling gembira dalam hidup saya selepas semasa kelahirannya.

    T Anthony Beram (kiri) ketika memenangi acara larian 200 meter pada Sukan SEA ke-29. – Bernama

    “Alangkah baiknya sekiranya ibu dan bapa saya turut berada di sini kerana mereka sentiasa mengharapkan yang anak saya akan menjadi pelari hebat satu hari nanti. Hari ini, impian mereka menjadi kenyataan,” katanya kepada Bernama.

    Sementara ramai yang menjangkakan jaguh pecut 100m Asia Tenggara yang baharu Khairul Hafiz Jantan untuk menang malam tadi, T Anthony pula yang membuat kejutan dengan merekodkan masa 20.84s untuk merangkul emas bagi negaranya Filipina.

    Atlet Thailand Jirapong Meenapra di tempat kedua untuk perak dengan catatan masa 21.22s manakala pelari tuan rumah G. Aravin Thevar meraih gangsa dengan masa 21.26s diikuti Khairul Hafiz dengan 21.28s.

    Semasa diminta mengulas pembabitan T Anthony dalam olahraga, beliau berkata anaknya itu pada awalnya aktif dalam sukan bola keranjang sebagai pemain tengah dan sentiasa berupaya menyelamatkan bola sebelum ia jatuh ke lantai.

    “Susulan itu, kebanyakan rakan sepasukannya memintanya mencuba acara trek dan kemudiannya dia berjaya dalam sukan itu,” katanya.

    Beliau optimis anaknya akan meneruskan momentum untuk meraih emas kedua dalam final 400m meter yang dijadual berlangsung malam ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda