Taal tidak lagi ancam penduduk

MANILA, 26 JAN – Letupan besar dari gunung berapi Taal tidak lagi mendatangkan ancaman, kata pihak berkuasa hari ini, sekali gus menarik semula perintah berpindah ke atas penduduk, namun pada masa mengingatkan mereka sentiasa berjaga-jaga.

Tanda amaran seperti gempa bumi tidak lagi kelihatan sejak Taal meletus dua minggu lalu, memaksa perpindahan sekurang-kurangnya 15,000 penduduk ke pusat perlindungan sementara.

Agensi seismologi negara berkata, debu dan pengeluaran gas yang semakin berkurangan adalah antara tanda yang menunjukkan gunung berkenaan tidak lagi berada dalam keadaan berbahaya.

Ia menyaksikan penarikan semula perintah berpindah oleh kerajaan tempatan di pekan mengelilingi gunung berapi terbabit, yang juga lokasi tarikan pelancong kerana kedudukannya di tengah tasik.

“Penduduk di kawasan pekan yang diarah berpindah sebelum ini kecuali Agoncillo dan Laurel kini berpeluang kembali ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun terdapat kemungkinan ia akan meletus dan kita sepatutnya bersedia untuk berpindah dalam tempoh sejam,” kata gabenor kawasan, Hermilando Mandanas dalam satu sidang akhbar.

Taal menghambur debu panas setinggi 15 kilometer (km) ke udara dan memuntahkan lahar pada letupan 12 Januari lalu, yang memusnahkan ratusan kediaman serta meragut nyawa haiwan ternakan dan tanaman. – AFP

Penduduk tempatan menggunakan motosikal kembali pulang ke rumah masing-masing selepas Biro Volkanologi Filipina menurunkan tahap amaran daripada empat kepada tiga. – AFP