Tabah dalam merawat hirisan di kalbu

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

DIADAPTASI dari novel karya Umi Syidah, Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin menampilkan gandingan Raysha Rizrose, Azrel Ismail, dan Idris Khan sebagai teraju utama.

Drama terbitan Country & Universal Sdn Bhd ini diarahkan oleh Nizam Zakaria dan turut membariskan pelakon-pelakon hebat lain seperti Aprena Manrose, Zera Hariz, Zulkifli Ismail, Sheila Mambo, Zain Hamid, Daim Jailani, Muaz Aydil, Raja Syahiran, Nisa Rissa, Haeriyanto Hassan dan Jesse Lim.

Kisah bermula sehari sebelum majlis perkahwinannya, Yuhanis lakonan Raysha Rizrose dikejutkan dengan berita tunangnya, Sharul Nizam lakonan Azrel Ismail enggan menikahinya.

Nizam menghubungi keluarganya bahawa dia telahpun berkahwin dengan Shila lakonan Zera Hariz dalam diam di United Kingdom.

Bimbang maruah keluarga tercemar, Yuhanis menebalkan muka untuk merayu dan memaksa supaya Saiful Mizan merangkap abang kepada Sharul Nizam untuk mengahwininya.

Idris Khan, Raysha Rizrose dan Azrel Ismail merupakan teraju utama dalam Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin.
Idris Khan, Raysha Rizrose dan Azrel Ismail merupakan teraju utama dalam Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin.

Pada mulanya Mizan, menolak sekerasnya kerana tidak mahu menjadi pak turut. Mizan juga masih trauma dengan perceraiannya dua tahun lalu dan serik untuk berkahwin.

Namun akhirnya Mizan bersetuju dengan bersyarat. Dia tidak mahu diganggu dan menganggap ikatan perkahwinan hanya bersifat sementara.

Kata-kata Mizan memakan diri apabila lama-kelamaan dia mula terpaut hati dengan Yuhanis gara-gara sifat Yuhanis yang penyabar dan patuh kepadanya walaupun tidak dilayan selayaknya.

Sementara itu, Nizam pulang bersama isterinya Shila. Ahli keluarganya amat terkejut apabila mengetahui Shila sudahpun hamil sebelum berkahwin.

Nizam yang lurus bendul menyangkakan bahawa kandungan itu ialah anaknya. Nizam sedar dan merasakan bahawa dirinya telah dipergunakan oleh Shila. Shila pula terancam dengan Yuhanis. Dia sering mengesyaki Yuhanis mempunyai rancangan untuk merampas suaminya.

Konflik bermula apabila Suraya lakonan Aprena Manrose, bekas isteri Mizan tiba-tiba muncul kembali di dalam hidup Mizan.

Suraya ingin merebut kembali cintanya kerana menyesal dengan perpisahan mereka. Selepas mendapat tahu bahawa Mizan sudah beristeri, pelbagai masalah kerap terjadi di dalam hidup Suraya lantas menyebabkan dia sedar sebenarnya tiada lelaki lain sebaik Mizan.

Rumah tangga Mizan dan Yuhanis mula bergoyah, kebahagiaan dan kasih sayang mereka yang baru berputik mula diuji.

Mizan hampir-hampir menceraikan Yuhanis dan tewas kepada godaan Suraya yang berniat jahat itu.

Terdapat rahsia yang belum terlerai, cinta yang tidak terucap, dan perkara yang belum selesai dalam keluarga ini.

Mampukah Yuhanis mengharungi segala cabaran yang melanda rumah tangganya itu dan untuk mengetahuinya jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin yang disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.58 petang di slot Akasia di saluran TV3.