Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Tabah dan sabar hadapi cabaran

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Umat Islam di negara ini telah ditakdirkan menghadapi dua keadaan yang sama-sama mencabar iaitu tuntutan berpuasa dan tuntutan menangani COVID dan kedua-duanya diharapkan dapat dihadapi dengan ketabahan dan kesabaran.

    Sehubungan itu, selaku umat yang beriman, kita perlu tetap konsisten berdoa, berzikir dan membaca Al-Quran untuk menagih rahmat Allah SWT dan mendapatkan perlindunganNya daripada bahaya wabak itu yang sedang melanda.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu dalam titah perutusan sempena menyambut Awal Ramadan 1443H/2022M dari Istana Nurul Iman, kelmarin.

    “Kita yakin, Allah SWT tidak akan mensia-siakan munajat kita, istimewa di bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Dalam bulan Ramadan ini, kita akan berpuasa sebulan genap Insya Allah, bukan hanya setakat menahan diri daripada makan dan minum, malah puasa adalah jihad kita melawan pengaruh hawa nafsu. Bahkan  jihad di sini dinamakan ia ‘jihad besar’, kerana jihad melawan hawa nafsu itu disifatkan sebagai jihad paling sukar lagi mencabar.

    “Pada hemat Beta, kita kini telah ditakdirkan menghadapi dua keadaan yang sama-sama mencabar, iaitu tuntutan berpuasa dan tuntutan menangani COVID. Beta berharap, dua-dua keadaan ini akan dapat kita hadapi dengan lebih tabah dan sabar,” tekan Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena menyambut Awal Ramadan 1443H/2022M kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

    Menyentuh mengenai tradisi, pada bulan ini umat Islam akan mengi-sinya dengan sembahyang Sunat Tarawih, bertadarus Al-Quran, qiamulail dan berusaha merebut Lailatul Qadar dan ini boleh sahaja dilakukan dengan cara yang bersesuaian mengikut perkembangan dan keadaan, titah Baginda.

    “Berkat niat kita yang baik untuk beribadat, Insya Allah, jalan yang mudah akan disediakan oleh Allah SWT untuk kita.

    “Selain beberapa ibadat yang tersebut di atas, dalam bulan Ramadan juga, kita adalah digalakkan untuk membanyakkan sedekah kerana rahsia sedekah sungguh istimewa,” titah Baginda.

    Baginda berpendapat sedekah bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan tetapi juga adalah penolak bala bahkan ubat penawar untuk menyembuhkan penyakit, sebagaimana Nabi SAW bersabda, maksudnya : ‘Ubatilah pesakit-pesakit kamu dengan sedekah’.

    “Inilah hebatnya Islam, menyediakan wadah untuk kita melakukan kebajikan,” tegas Baginda.

    Baginda dalam pada masa yang sama turut menzahirkan harapan agar kita akan dapat bersama-sama meningkatkan amal ibadat untuk meraih pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT.

    “Marilah kita sama-sama berdoa, semoga dengan berkat Ramadan, Allah SWT akan menerima ibadat dan taubat kita, diampunkan segala dosa serta negara pula beroleh rahmat, bebas dan selamat daripada pelbagai musibah khasnya penularan wabak,” seru Baginda.

    “Akhir kalam, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa di dalam keadaan sihat afiat, murah rezeki lagi sejahtera,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...