SEREMBAN, 24 MEI – Pasukan PUBG Mobile, Tabah-NSEA menerima insentif lebih RM5,000 atas kejayaan pasukan itu meraih pingat gangsa dalam temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan Seremban, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, Pusat Pembangunan Belia Harapan (TABAH) memberikan insentif RM5,000 manakala Majlis Sukan Negeri (MSN) akan menyerahkan RM2,000 atas kejayaan pasukan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang ha-dir pada majlis itu turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang pertama kali mewakili Malaysia di Sukan SEA.
Pasukan tersebut dianggotai oleh Mohamad Amizul Hafiz Mohd Fadzli, 22, Muhammad Irfan Jafni Mohamad, 21, Muhammad Farish Husaini Zailani, 19, Muhammad Faiz Aiman Baharuddin Abdullah, 21, Mohd Farizal Khairuddin, 28, (Pengurus Pasukan) dan Muhammad Aduka Ikmal, 26, (jurulatih pasukan).
Dalam pada itu, Mohamad Amizul Hafiz berkata pasukannya menerima saingan sengit daripada pasukan Thailand, Indonesia dan Vietnam namun berhasil memenangi tempat ketiga daripada 17 pasukan bertanding.
“Walaupun sasaran kami adalah pingat emas, kami tetap berbangga dengan pencapaian pingat gangsa untuk Malaysia, saya percaya pasukan kami mampu meraih pencapaian lebih baik pada masa akan datang,” katanya dan menambah pasukan itu akan berehat selama dua hingga tiga minggu sebelum menyertai Perlawanan PUBG Mobile Pro Lead Season 6 (PMPL S6) pada hujung Julai ini nanti. – Bernama