Tabarruk itu disyari‘atkan, jadikan keutamaan dalam hidup

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri Dua

Antara perkara yang mengundang berkat menurut yang disyari‘atkan

Berdasarkan ketentuan yang ada dinyatakan di dalam al-Qur’an dan hadis, juga sebagaimana yang disepakati oleh para ulama, berkat boleh didapati antaranya melalui peribadi manusia, benda, tempat, waktu selain doa dan perbuatan yang boleh mengundang berkat.

Berikut adalah perkara yang boleh menyumbang kepada berkat dan umat Islam dituntut untuk bertabarruk dengannya:

1) Peribadi manusia

i) Nabi Muhammad

Adapun berkat paling agung yang dianugerahkan Allah kepada hambaNya ialah diutusnya Nabi Muhammad kepada sekalian alam.

Allah memberi hidayah kepada hambaNya dengan berkat kerasulan Nabi Muhammad dan dengan apa yang telah dibawa oleh Baginda yang tidak lain berupa petunjuk dan keterangan.

Terdapat banyak kisah yang menceritakan mengenai berkat Nabi Muhammad. Antaranya kisah para sahabat r.a. berwudhu dan minum air yang keluar dari celah jari Baginda. Jabir r.a. sendiri mengusap air tersebut pada perutnya.

Ini kerana mereka sedar bahawa mukjizat Nabi itu mengandungi berkat dan mereka tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut.

Para sahabat r.a. yang diikuti oleh para tabi‘in dan orang-orang shalih bertabarruk dari atsar (kesan dan peninggalan) Baginda. Bertabarruk dengan atsar Nabi Muhammad sudah pun berlaku pada zaman Nabi sendiri. Baginda tidak melarangnya dan ini menunjukkan bahawa bertabarruk itu harus dan tidak ditegah oleh syarak berdasarkan hadis-hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata yang maksudnya:

“Ketika Rasulullah selesai melontar Jamrah dan melakukan korbannya serta bercukur, Baginda menghulurkan bahagian kanan kepalanya kepada tukang cukur untuk mencukurnya. Kemudian Baginda memanggil Abu Thalhah al-Anshari dan memberikannya potongan rambut tersebut.

Kemudian Baginda menghulurkan bahagian kiri kepalanya (kepada tukang cukur) lalu Baginda bersabda: “Cukurlah!” Lalu (tukang cukur) pun mencukurnya dan Baginda memberikannya (potongan rambut) kepada Abu Thalhah seraya bersabda: “Bahagi-bahagikanlah potongan rambut itu kepada orang ramai.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. – Agensi

ii) Para nabi

Antaranya sebagaimana yang diakui oleh Nabi ‘Isa ‘alaihissalam yang disebutkan di dalam Surah Maryam, ayat 31 yang tafsirnya:

“Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.”

iii- Orang-orang shalih

Menurut sebuah hadis riwayat Mahmud bin Rabi‘ al-Anshar r.a., ‘Itban bin Malik r.a. pernah mempelawa dan berharap agar Nabi Muhammad sembahyang di rumahnya dan kemudian dia menjadikan tempat Baginda sembahyang itu sebagai tempat beliau sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah ber-kata hadis berkenaan mengandungi banyak faedah pengajaran antaranya disyari‘atkan bertabarruk dengan orang-orang shalih dan atsar-atsar mereka, sembahyang di tapak mereka sembahyang dan meminta keberkatan daripada mereka.

Sementara itu, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah berkata bahawa apa yang dapat diambil pengajaran dari hadis berkenaan adalah siapa sahaja orang-orang shalih apabila orang berhajat untuk mengambil berkat daripadanya, hendaklah dia memenuhi permintaan tersebut selagi ianya tidak menimbulkan sebarang fitnah.

2) Al-Qur’an al-Karim

Al-Qur’an adalah kalam Allah Ta‘ala yang penuh dengan berkat.

Firman Allah yang tafsirnya:

“Dan (al-Qur’an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk Ummulqura (Mekah) serta orang-orang yang beriman dengan adanya hari akhirat, mereka beriman kepada al-Qur’an dan mereka tetap memelihara sembahyang mereka.” (Surah al-An‘am: 92)

Allah menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. Adapun berkat al-Qur’an itu ialah pertunjuk (hidayat), ilmu pengetahuan, penawar, rahmat kepada setiap orang-orang yang beriman dan lain-lain yang tidak terkira banyaknya.

Selain itu, rumah yang dibacakan al-Qur’an di dalamnya juga akan dipenuhi dengan berkat.

3) Iman dan Taqwa

Allah berfirman yang tafsirnya:

“Dan kalaulah penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (rasul-rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka (dengan azab) disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah al-A‘raf: 96)

Firman Allah lagi yang tafsirnya:

“Dan seseiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan keluar (dalam urusannya).”

“Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya.” (Surah ath-Thalaq: 2-3)

Menurut ulama, maksud ayat al-Qur’an di atas yang tafsirnya: “Dan Dia mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak terlintas di fikirannya” itu ialah memberi berkat ke atas setiap apa yang diberi. Ibnu ‘Uyainah Rahimahullah dalam mentafsir ayat di atas berkata bahawa yang dimaksudkan dengan rezeki itu adalah berkat.

4) Menunaikan sembahyang dan memeliharanya

Firman Allah di dalam surah Thaha ayat 132 yang tafsirnya:

“Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sembahyang dan bersabarlah dalam menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu. Dan akibat (kesudahan yang baik) adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Imam Ibnu Katsir ketika mentafsir ayat al-Qur’an di atas yang tafsirnya: “Kami tidak meminta rezeki daripadamu (bahkan) Kamilah yang mengurniakan rezeki kepadamu” berkata bahawa jika kamu menunaikan sembahyang, maka akan datang kepada kamu rezeki dari arah yang tidak kamu sangka iaitu berkat sebagaimana tafsiran ayat yang ketiga dari surah ath-Thalaq.

5) Dzikrullah

Dzikrullah adalah amalan mengingati Allah dan menyebut namaNya dengan tasbih, tahmid, tahlil, membaca ayat al-Qur’an dan sebagainya sama ada dilakukan dengan hati ataupun dengan lisan.

Istighfar juga merupakan zikir. Allah berfirman yang tafsirnya:

“Maka aku berkata (kepada mereka): Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.”

“(Jika kamu berbuat demikian), nescaya Dia akan mencurahkan hujan yang lebat kepada kamu.”

“Dan Dia membanyakkan harta dan anak-anak kamu dan Dia akan mengadakan untuk kamu kebun-kebun serta mengadakan untuk kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”

(Surah Nuh: 10-12)

Antara yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah apabila kamu memohon ampun dan bertaubat kepada Allah, nescaya rezeki kamu akan bertambah, diberikan berkat daripada langit dan bumi.

6) Doa

Dalam al-Qur’an dan hadis Nabi, terdapat suruhan yang memerintahkan supaya berdoa dan memohon kepada Allah ke arah kebaikan.

Hukum berdoa adalah sunat (mustahab iaitu digalakkan).

Rasulullah sendiri mendoakan para sahabat agar dikurniakan berkat dan memimpin umat Islam untuk selalu berdoa agar dikurniakan berkat dalam setiap perkara yang baik. Antaranya doa Baginda sebagaimana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata yang maksudnya:

“Orang-orang (penduduk Madinah) apabila melihat buah pertama, mereka membawanya kepada Nabi, lalu Baginda mengambilnya seraya berdoa: Ya Allah, berkatilah kami (melalui) buah kami, berkatilah kami (melalui) bandar kami, berkatilah kami (melalui) sha‘ (gantang) kami dan berkatilah kami (melalui) mudd (cupak) kami.” (Hadis riwayat Muslim)

Kemudian Nabi akan memanggil anak paling kecil yang ada ketika itu dan memberikan buah itu kepadanya.