Tabarruk itu disyari‘atkan, jadikan keutamaan dalam hidup

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Siri Satu

Dalam mengejar kesenangan hidup, berbagai cara dan bentuk usaha dilakukan oleh manusia untuk mendapatkannya, sehingga ada yang sanggup bertindak salah dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Namun, berapa ramai pula yang sanggup berlumba-lumba untuk mendapatkan keberkatan dan menjadikannya sebagai matlamat hidup, sedang keberkatan itu pada hakikatnya adalah kebaikan kurniaan Allah?

Dari sudut lain pula, kita sering mendengar, mengucapkan dan berdoa agar mendapat keberkatan dalam setiap perkara. Namun adakah kita benar-benar tahu apa dia berkat itu dan bagaimana kita boleh mendapatkannya?

Perihal berkat, mencari berkat atau menagih berkat menurut hukum syarak merupakan suatu yang disyari‘atkan di dalam Islam.

Terdapat banyak tempat di dalam al-Qur’an dan hadis yang menyebutkan tentang berkat dengan beberapa derivasinya seperti ‘Baraka’, ‘Yubaarik’, ‘Mubaarakah’, ‘Mubaarik’, ‘Mubaarak’ dan ‘Baarik’.

Antaranya Allah menyatakan bahawa air yang turun daripada langit itu mengandungi banyak faedah dan keberkatan sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

“Dan Kami telah menurunkan hujan dari langit yang banyak faedahnya lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu kebun-kebun (pohon buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.” (Surah Qaf: 9)

Adapun makanan yang berkat itu adalah yang dihasilkan dengan mengikut adab yang disyari‘atkan seperti dimulai dengan basmalah. – Agensi

Sementara itu, perkataan (tabarruk) juga banyak disebutkan oleh para ulama Islam termasuk ulama fiqh. Keharusan tabarruk (meminta berkat) tsabit dari perbuatan dan kata-kata Imam asy-Syafi‘i Rahimahullahu Ta‘ala.

Antaranya sepertimana yang dinukilkan di dalam kitab Raudhah ath-Thalibin, kitab al-Majmu‘ dan kitab-kitab fiqh lain yang menunjukkan bahawa harus mengangkat jenazah dari keempat-empat sisinya atau empat penjuru kerandanya untuk tujuan ingin mendapatkan berkat (tabarruk).

Pengertian berkat

Berkat berasal dari perkataan Arab ‘barakah’. Dari segi bahasa, ‘barakah’ bererti perkembangan, pertambahan atau lebih.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa asal makna ‘barakah’ atau berkat itu ialah kebaikan yang banyak dan tetap.

Di samping pengertian tersebut, ‘barakah’ juga membawa erti:

1) Gembira atau bahagia.

2) Berterusan dan tetap.

3) Makmur, bernasib baik dan untung.

4) Kebaikan yang berlimpah.

Apabila diperhatikan semua pengertian yang diberikan, ia mempunyai makna yang hampir sama, salah satunya merujuk kepada salah satu yang lain.

Umpamanya, kebahagiaan adalah sebahagian daripada kebaikan. Demikian juga keuntungan dan pertambahan.

Oleh yang demikian, semua pengertian tersebut dapat disimpulkan sebagai membawa maksud kebaikan yang berlimpah, bertambah, tetap dan berterusan.

Adapun ‘tabarruk’ dari segi bahasa ialah menuntut, memohon, meminta, mencari, menagih atau menginginkan berkat. Sementara itu dari segi istilah, ‘tabarruk’ bererti menagih ketetapan kebaikan di sisi Allah pada sesuatu perkara.

Hakikat berkat

Berkat merupakan kurnia Allah yang diletakkan ke atas setiap sesuatu yang Dia kehendaki.

Di dalam kitab Gharib al-Qur’an susunan Raghib al-Ashfahani, ‘barakah’ atau berkat ialah kepastian atau ketetapan kebaikan di sisi Allah pada sesuatu perkara.

Masih ramai yang tidak tahu hakikat berkat melainkan mengetahui adanya berkat itu dengan sesuatu yang nampak banyak dan bertambah.

Pada hakikatnya ruanglingkup berkat itu sangat luas dan meliputi berbagai aspek kehidupan sebagaimana yang disebutkan dan dapat difahami dari al-Qur’an dan hadis, umpamanya berkat pada harta, makanan, ilmu, umur dan waktu dan sebagainya.

i- Berkat pada rezeki, harta dan makanan

Rasulullah pernah mengajar seorang sahabat dengan memberikan satu contoh perumpamaan yang menunjukkan bahawa sesungguhnya harta kekayaan yang banyak itu apabila hilang atau kosong daripada berkat, tidak akan memberi apa-apa kepuasan dan hanyalah sesuatu yang sia-sia. Baginda bersabda yang maksudnya:

“Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini adalah seperti buahan menghijau yang subur, enak dan disukai. Barangsiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (tidak rakus dan meminta-minta), nescaya akan diberkati baginya harta itu. Manakala barangsiapa yang mengambilnya dengan rasa tinggi diri maka tidak ada berkat padanya sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis berkenaan, Rasulullah memberikan contoh harta agar mudah difahami.

Pertama: Diumpamakan harta itu dengan buah-buahan manis dan enak yang setentunya disukai dan diingini oleh setiap orang.

Kedua: Diumpamakan harta yang berlimpah ruah yang kosong daripada berkat itu dengan perbuatan makan dengan banyak tetapi tidak merasa puas atau kenyang.

Tujuan utama seseorang untuk makan tidak lain hanyalah untuk mengenyangkan perut atau menghilangkan rasa lapar. Namun apabila dia makan dengan banyak, tetapi masih tidak kenyang, maka perbuatan tersebut hanyalah sesuatu yang sia-sia dan tidak memberi sebarang faedah mahupun keuntungan.

Adapun makanan yang berkat itu adalah yang dihasilkan dengan mengikut adab yang disyari‘atkan seperti dimulai dengan basmalah.

Tidak semestinya makanan itu dalam kuantiti yang banyak dan berbagai jenis. Oleh itu, sunat hukumnya dimulai makan dan minum dengan bacaan basmalah.

Antara adab makan yang jelas mengundang berkat ialah sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Berkat itu turun di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sementara itu, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa makanan yang berkat adalah makanan yang boleh mengenyangkan, tidak membahayakan dan menyakitkan tubuh badan, makanan yang boleh menjadi sumber kekuatan untuk berbuat ketaatan kepada Allah.

ii- Berkat pada ilmu

Ilmu yang berkat pada diri seseorang adalah ilmu yang memberi kesan manfaat dalam ibadat, akhlak, tingkah laku dan pergaulannya sesama manusia.

iii- Berkat pada umur dan waktu

Menurut sebuah hadis hasan shahih, seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah. Beliau berkata yang maksudnya:

“Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia?

Baginda menjawab: Siapa yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya.

Lelaki itu bertanya lagi: Maka siapa pula seburuk-buruk manusia?

Baginda menjawab: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amal perbuatannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menunjukkan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh seseorang di dalam hidupnya yang mengundang berkat itulah ukuran, bukan berdasarkan panjang umurnya semata-mata.

Semua perkara di atas jelas menggambarkan bahawa sesuatu yang banyak itu belum tentu memberi sebarang faedah.

Harta kekayaan yang berlimpah, ilmu yang tinggi dan umur yang panjang belum tentu dapat memberi kebaikan kepada pemiliknya.

Wujudnya harta, ilmu, umur dan waktu itu sama sahaja seperti tiada. Perkara ini adakalanya dapat dilihat dengan mata kasar.

Terdapat orang kaya, orang berpendidikan tinggi dan orang yang lanjut usia hidup di dalam keadaan resah, menderita, sering berhadapan dengan pelbagai masalah seperti perbalahan keluarga, anak-anak menderhaka dan sebagainya.

Keharusan tabarruk (meminta berkat) menurut yang disyari‘atkan

Berkat dan tabarruk (meminta berkat) saling berpaut antara satu sama lain kerana berkat tidak akan dapat diraih tanpa perbuatan tabarruk dan usaha untuk bertabarruk tidak akan mendapat apa-apa jika Allah tidak mewujudkan berkat pada sesuatu perkara itu.

Dalam perkara tabarruk (meminta berkat) mesti tidak terlepas dari dua perkara, iaitu:

Tabarruk yang harus iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang diketahui ada disyari‘atkan di dalam Islam seperti ber-tabarruk dengan al-Qur’an yang memang mempunyai banyak kerberkatan.

Tabarruk yang dilarang iaitu bertabarruk dengan sesuatu yang tidak disyari‘atkan di dalam Islam seperti bertabarruk dengan batu atau kubah.

Kadangkala tabarruk itu disalah anggap oleh sebilangan orang dengan mempercayai dan melakukan perkara yang sama sekali tidak disyari‘atkan, malah bertentangan dengan akidah Islam seperti perbuatan yang boleh membawa kepada unsur syirik, bid‘ah dan khurafat.

Sebagai contoh, memakai azimat yang bukan daripada nama atau sifat Allah, seperti nama-nama malaikat, orang shalih atau nama mu‘azhzham (yang dimuliakan) dari kalangan makhluk seperti ‘Arasy. Meninggalkan perbuatan mengambil berkat sedemikian adalah aula (lebih utama).

Lebih dikhuatiri jika niat memakai azimat untuk mendapatkan berkat itu terseleweng sehingga menjadikan pemakainya beri‘tiqad bahawa azimat itu yang mempunyai kuasa mendatangkan kebaikan kepadanya, maka ini boleh membawa kepada perbuatan syirik dan wajib untuk dihindari.

Adapun tabarruk sebagaimana yang disyari‘atkan Islam, ianya adalah sesuatu yang diharuskan berdasarkan ketetapan dari al-Qur’an dan sunnah Nabi Muhammad.