‘Tabir pelukan’ untuk kontak selamat

SAO PAULO, 15 JUN – Sebuah rumah persaraan di Brazil telah mengemukakan penyelesaian kreatif untuk membenarkan kawan dan ahli keluarga mempunyai kontak peribadi dengan penghuni warga emas terutamanya yang mudah terdedah kepada koronavirus: ‘tabir pelukan.’

Tabir plastik besar itu, dipasang di rumah persaraan di bandar Sao Paulo, membenarkan penghuni di satu belah dan pelawat di sebelah bertentangan memeluk ahli keluarga yang tidak mungkin dilakukan sebelumnya disebabkan COVID-19.

Tabir itu mempunyai poket di mana penghuni dan pelawat boleh memasukkan lengan mereka dan ia dipasang dengan sarung tangan hitam untuk perlindungan tambahan.

“Ia sungguh selesa; saya amat merinduinya,” beritahu Silvio Nagata, 68, kepada AFP selepas memeluk adik perempuannya Luiza Yassuko, 76, di rumah persaraan di kawasan Morumbi.

“Disebabkan pandemik, saya tidak dapat melawatnya, terutamanya pada usia saya, saya juga tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi,” kata Nagata. “Ia merupakan sistem cemerlang, seronok rasanya dapat memeluk beliau,” kata Nagata, kakitangan awam bersara. Jururawat membersihkan tabir plastik dengan pembasmi kuman setiap kali digunakan.

“Apabila kami melihat pandemik ini akan bertahan untuk masa lama, kami terpaksa mencari jalan selamat untuk membenarkan keluarga bertemu dengan penghuni dan membenarkan warga emas tahu orang kesayangan mereka sedang memikirkan mereka,” kata Mairo Martins, ahli terapi fizikal di pusat itu. – AFP

Suzane Valverde (kiri) memeluk ibunya Carmelita Valverde, 85, menerusi tabir plastik lut sinar di sebuah rumah persaraan di Sao Paulo, Brazil pada 13 Jun 2020. – AFP