Tablet purba dipulangkan semula ke Iraq

WASHINGTON, 23 SEPT – Tablet tanah liat berusia 3,500 tahun yang telah ditemui dalam runtuhan sebuah perpustakaan purba raja Mesopotamia, kemudian dirampas dari sebuah muzium Iraq 30 tahun lalu, akhirnya dipulangkan semula ke Iraq.

Tablet tanah liat dipahat aksara paku bernilai AS$1.7 juta itu ditemui pada tahun 1853 antara koleksi 12 tablet dalam runtuhan perpustakaan Raja Assyria, Assur Banipal.

Para pegawai percaya ia diimport secara haram ke Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003, kemudian dijual kepada Hobby Lobby dan akhirnya dipamerkan di Muzium of Bible di bandar negara itu.

Ejen-ejen persekutuan bersama Siasatan Keselamatan Dalam Negeri merampas tablet itu – dikenali sebagai Gilgamesh Dream Tablet – dari muzium itu pada September 2019.

Beberapa bulan kemudian, pendakwa raya persekutuan di Brooklyn, New York memulakan prosiding mahkamah terhadap perampasan awam yang memberi keputusan agar dipulangkan, yang dijadualkan petang Khamis pada sebuah majlis di Muzium Kebangsaan Amerika India, Smithsonia yang akan melibatkan para pegawai dari Iraq.

Ia adalah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa AS dan seluruh dunia untuk mengembalikan barangan antik yang dicuri dari negara asal.

Pada tahun-tahun lalu, barangan seumpamanya tidak mungkin akan ditemui semula. Relik itu dijual dalam pasaran gelap secara berleluasa, serta rangkaian jenayah dan penyeludup terlibat dalam barang curi turut memalsukan data pemilikan.– AP

Imej menunjukkan artifak berusia 3,500 tahun yang dikenali sebagai Gilgamesh Dream Tablet. – AP