LONDON, 11 MEI – Penerbit tabloid British, The Mirror, yang dituduh oleh Putera Harry dan selebriti lain melakukan pengumpulan maklumat yang menyalahi undang-undang, membuat permohonan maaf pada awal perbicaraan di London, hari ini.
Anak bongsu Raja Charles III itu terbabit dalam beberapa kes terhadap penerbit akhbar Britain sejak berpindah ke California dan berundur daripada tugas diraja pada awal 2020.
Harry antara seorang daripada beberapa penuntut berprofil tinggi yang menuntut ganti rugi terhadap Akhbar Kumpulan Mirror (MGN) atas dakwaan pengumpulan maklumat yang menyalahi undang-undang, termasuk penggodaman telefon.
Kumpulan itu memiliki beberapa penerbitan termasuk The Mirror, The Sunday Mirror dan Sunday People.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi di London dijangka berlangsung selama tujuh minggu dengan Harry bersedia memberi keterangan pada Jun ini.

Dalam dokumen yang dikeluarkan pada awal perbicaraan, hari ini, penerbit mengakui ‘beberapa bukti’ pengumpulan maklumat yang menyalahi undang-undang.
Kumpulan itu meminta maaf tanpa syarat dan memberi jaminan kelakuan sedemikian tidak akan berulang.
Bagaimanapun peguam MGN, Andrew Green berkata, pihaknya menafikan berlakunya pemintasan mel suara.
Beliau juga berkata beberapa tuntutan adalah terlalu lama dengan prosiding meliputi tempoh antara 1995 dan 2011. – AFP