Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Pasukan bola sepak kebangsaan Brunei Darussalam pada masa ini sedang meningkatkan persiapan mereka dalam perlawanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Piala Mitsubishi Electric 2022 yang akan diadakan pada hujung bulan ini.
Tabuan, yang dikendalikan oleh Ketua Jurulatih, Mario Rivera Campesino serta pasukan jurulatihnya, mengadakan sesi latihan di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.
Pengurus pasukan, Pengiran Haji Mohd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin dan penolong pengurus pasukan, Ah Chua Bangau turut hadir bagi membantu dengan persiapan.
Pengiran Haji Mohd Waslimin berkata dalam temu bual dengan media, ”Kami mahu memberikan saingan kepada pihak lawan. Kami datang sebagai pasukan bukan pilihan dalam kejohanan ini.”
Beberapa orang pemain DPMM FC dan dari kelab domestik yang lain dapat dilihat sedang menjalani sesi latihan berkenaan.
Seramai lebih kurang 30 orang pemain terlibat dengan sesi latihan sebelum pengumuman dibuat bagi menentukan siapa yang bakal terpilih untuk bersaing di Kuala Lumpur.
Skuad terakhir, yang dijangka terdiri daripada 23 orang pemain dan 14 pegawai, akan berlepas pada 12 Disember, di mana mereka akan menjalani persediaan fasa terakhir sebelum kejohanan.
Brunei bakal berkampung di ibu kota Malaysia sepanjang peringkat kumpulan, di mana mereka bakal bermain di Stadium KLFA sebagai ‘laman sendiri’.
Skuad kendalian Mario itu juga dijangka bakal mengadakan perlawanan pemanas badan menentang kelab bola sepak Malaysia sehari selepas ketibaan mereka di Stadium UPM.
Pasukan kebangsaan telah bermain sebanyak enam perlawanan antarabangsa, dengan kemenangan 1-0 menentang Laos dalam siri Tiga Negara pada September lepas sebagai pemangkin semangat sebelum pusingan kelayakan AMEC berdepan Timor Leste.
Brunei mencipta kemenangan terbesar mereka dalam sejarah bola sepak antarabangsa selepas mengalahkan Timor Leste 6-2 pada pusingan pertama, dalam perjalanan mereka ke pusingan kelayakan peringkat kumpulan AMEC 2022.
Tabuan akan bersaing dalam arena bola sepak ASEAN sejak 26 tahun lepas menentang Thailand pada 20 Disember depan.
Seterusnya mereka akan berlepas ke Filipina untuk berdepan Azkals tiga hari kemudian sebelum pulang ke ‘laman sendiri’ untuk bertemu Indonesia pada 26 Disember.
Brunei akan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan mereka apabila berdepan Kemboja pada 29 Disember.