Tabuan muda terus kecewa

Oleh Fadhil Yunus di Filipina

MANILA, 5 DIS – Pasukan bola sepak bawah 22 tahun Brunei Darussalam mengakhiri kempen di Sukan Asia Tenggara ke-30 tanpa memperoleh sebarang gol selepas dikecewakan Singapura 7-0 di Stadium Rizal Memorial di Manila, kelmarin.

Tabuan Muda sebelum ini turut gagal menjaringkan sebarang gol dalam semua perlawanan peringkat kumpulan menentang Indonesia, Vietnam dan Thailand serta Laos.

Brunei diletakkan dalam keadaan tertekan sebaik saja perlawanan dimulakan apabila Singapura melakukan serangan dan menjaringkan gol pertama di minit ketiga perlawanan melalui ketua pasukan, Irfan Fandi.

Penyerang muda Singapura, Ikhsan Fandi yang merupakan pemain senior, menggegarkan pertahanan Brunei degan percubaan yang sedikit melencong, percubaan yang menunjukkan serangan Singapura yang kukuh.

Dengan pasukan Singapura yang mengharapkan kemenangan untuk mengakhiri kempen, Jacob Mahler melakukan tandukan selepas menerima hantaran silang daripada rakan sepasukannya. Singapura menambah gol di minit ke-67 apabila Ikhsan melepaskan tendangan yang melepasi penjaga gol Brunei, Ishyra Asmin.

Pemain Singapura, Saifullah Akbar menambah jaringan pada minit ke-72 sebelum Faris menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh lima minit.

Pasukan The Young Lions, yang berada dalam kedudukan yang sama dengan Brunei sebelum perlawanan terakhir mereka, berpesta gol selepas Ikhsan menjaringkan gol kedua.

Ikhsan menyempurnakan hatrik dengan cantik dalam detik-detik akhir permainan untuk menambah kesengsaraan kepada pasukan Brunei.

Aksi Faiq Jefri Bolkiah semasa perlawanan tersebut. – Gambar oleh Infofoto