Tuesday, April 16, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    Tabuan Muda tewas di tangan Kemboja

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Pasukan kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) Brunei Darussalam membuat penampilan sulung mereka dalam Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dengan kekalahan 6-0 kepada Kemboja di Stadium Kebangsaan Morodok Techo hari ini.

    Barisan pemain utama menyaksikan tujuh pemain terdiri daripada penjaga gol, Abdul Mutalip bin Haji Muhd; pemain pertahanan, Amirul Aizad bin Haji Zaidi dan Muhd Nazhan bin Zulkifle; pemain tengah, Muhd Alinur Rashimy bin Awang Jufri, Muhd Nazry Aiman bin Azaman, Abdul Hariz bin Herman dan Abdul Wadud bin Ramli membuat penampilan sulung untuk pasukan kebangsaan B-23.

    Tekanan berterusan pasukan tuan rumah berjaya menembusi pertahanan pasukan negara apabila penyerang, Sieng Chanthea menanduk masuk gol pembukaan selepas hantaran silang daripada Nhean Sosidan.

    Pasukan tuan rumah dengan pantas menggandakan pendahuluan apabila Sosidan yang cemerlang merembat masuk bola dari tepi kotak penalti hanya dua minit selepas perlawanan dimulakan semula.

    Dengan pasukan tuan rumah kelihatan lebih hebat, pemain pertahanan Kemboja, Taing Bunchhai turut menemui peluang sekali gus melepaskan rembatan yang berjaya ditepis oleh penjaga gol Brunei, Abdul Mutallip bin Haji Muhd.

    Kapten bagi kedua-dua pasukan bergambar bersama para pengadil sebelum perlawanan tersebut dimulakan. – Gambar serahan FABD

    Pasukan tuan rumah terus berada dalam pengawalan ketika Sa Ty dengan tenang menewaskan Abdul Mutallip selepas hantaran silang oleh Buncchai dibiarkan tanpa pengawasan.

    Brunei mencatatkan percubaan menepati sasaran tetapi sepakan Muhd Alinur Rashimy bin Awang Jufri berjaya diselamatkan dengan agak mudah oleh penjaga gol Kemboja, Hul Kimhuy.

    Perlawanan tersebut pada mulanya ditangguhkan pada babak kedua selama setengah jam kerana keadaan padang yang bertakung air akibat hujan lebat.

    Ketika kedua-dua pasukan kembali ke padang, Kemboja mencipta peluang apabila pemain gantian, Narong Kakada menyaksikan tandukannya terlepas sasaran.

    Pasukan tuan rumah hampir menjaringkan gol melalui seorang lagi pemain gantian, Ky Rina yang mengintai untuk melepaskan penyudah tetapi Abdul Mutallip berjaya mengagalkannya.

    Brunei memperoleh sepakan sudut pertama mereka dalam perlawanan tersebut apabila Muhd Nazhan mempamerkan prestasi yang hebat membawa bola ke dalam kotak penalti.

    Pasukan bimbingan Hirose Ryu menambah gol keempat apabila Buncchai tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol susulan bola hasil sepakan percuma Min Ratanak berada di laluannya.

    Pemain gantian Kemboja, Sor Ratana turut menjadi barisan penjaring selepas penyudah cekap melepasi Abdul Mutallip hasil hantaran silang daripada Leng Nora.

    Pasukan tuan rumah itu melengkapkan kemenangan apabila Kakada mempamerkan kecemerlangan dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol terakhir Kemboja.

    Brunei hampir bangkit dengan gol sagu hati tepat pada penghujung perlawanan menerusi dua sepakan percuma berturut-turut oleh Hakeme Yazid bin Said.

    Walau bagaimanapun, Kemboja mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dan akan berada di kedudukan teratas untuk layak dari Kumpulan A.

    Pasukan B-23 negara akan menentang Timor Leste dalam perlawanan seterusnya Khamis ini di gelanggang yang sama.

    Tabuan Muda akan menamatkan kempen kumpulan mereka menentang Filipina di Stadium Prince pada 20 Februari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...