Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Pasukan bola sepak Negara Brunei Darussalam melakar sejarah dalam pusingan kelayakan ke Piala Mitsubishi Electric Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 apabila menang 6-2 dalam pusingan pertama menentang Timor Leste pada Sabtu lalu.
Ketua Jurulatih skuad Brunei, Mario Rivera Campesino dalam sidang media berkata, pasukan kendaliannya akan terus bermain dengan baik dan tidak akan bergantung pada strategi defensif semata-mata.
“Jika kita hanya bertahan sahaja, ia adalah satu kesilapan besar untuk kita. Kita perlu bermain untuk menang dan kita perlu keluar menyerang sambil mempertahankan gawang gol. Kita perlu tumpukan sepenuh perhatian kepada kedua-dua strategi ofensif dan defensif. Kita mungkin akan ada banyak peluang untuk serangan balas kerana Timor Leste memerlukan gol pada awal permainan.
“Kita perlu memperbetulkan kesilapan pertahanan kita dan perbaiki pergerakan pemain serta hantaran yang dilakukan. Kita telah memenangi pusingan pertama tetapi kita perlu lupakan keputusan ini dan tumpukan sepenuh perhatian kepada pusingan kedua,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan Brunei, Hendra Azam berkata, “Kami perlu kekalkan mentaliti dan momentum untuk pusingan kedua. Skuad kami akan berikan 100 peratus untuk menang pusingan kedua ini.”
Dalam satu temu bual berasingan, Ketua Jurulatih Timor Leste, Gopalkrishnan AS Ramasamy berkata, “Kami akan tunjukkan perlawanan sebenar dalam pusingan kedua dan kami akan berikan yang terbaik.
“Kami telah membuat yang terbaik semasa skor 2-3. Kami sedang menyerang, namun, pemain kami terlalu bersemangat sehinggakan ada yang hilang fokus. Kami membenarkan Brunei membuat serangan balas yang menyebabkan kejatuhan kami.”
Pemain Timor Leste, Mouzinho berkata, “Kami akan cuba untuk kembali dan memenangi pusingan kedua ini.”