Tabuan terus lebarkan sayap

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Pasukan Tabuan berada pada kedudukan terbaik dalam penentuan gelaran dengan kelebihan dua mata di hadapan pencabar terdekat DPMM FC selepas menewaskan Indera SC 3-0 untuk menerajui tangga Liga Remaja Bawah 16 tahun NFABD di Padang Bola Sepak NFABD hari ini.

Pasukan pembangunan belia kebangsaan itu menggantikan kedudukan pasukan yang berpangkalan di Jerudong, DPMM FC selepas memenangi perlawanan tersebut, memaksa penentuan perebutan gelaran bakal dalam perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas pada Ahad ini.

Dengan pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan yang menemui jalan buntu, Pasukan Tabuan hanya perlu mengulangi keputusan itu untuk menjamin gelaran. Sementara itu, Pasukan DPMM FC memerlukan kemenangan untuk merangkul gelaran.

Penyerang Tabuan, Mohammad Syaherrul Affendy bin Mohammad Syahmirul Nizam meneruskan aksi terbaiknya dengan menjaringkan dua gol sekali gus mengumpul 15 gol dalam lima penampilan liga terakhirnya.

Memimpin perlawanan, pemain bahagian depan itu memberikan gambaran ancaman sebenar apabila tendangannya mengenai bahagian luar jaring, sekali gus memberikan peringatan untuk pasukan lawan.

Bagaimanapun, Pasukan Indera mencipta peluang terbaik selepas penyerang Muhammad Sarafil Zul Izzad bin Sahrizam berjaya melakukan rembatan tetapi tinggi di atas palang.

Penjaga gol Indera SC berdepan kekeliruan apabila dia terlepas bola ketika tersalah tafsiran hasil hantaran lintang daripada pemain Tabuan, Mohammad Hasnol bin Abdullah Haslan dan bernasib baik apabila akhirnya bola jauh dari sasaran.

Mohammad Syaherrul menjaringkan gol pertama Pasukan Tabuan pada minit ke-28 dan sekali lagi menggandakan jaringan di minit ke-43 sebelum rakan sepasukannya, Awangku Mohammad Idzzaham Alwshahmezan menyempurnakan jaringan enam minit sebelum perlawanan tamat, sekali gus memberikan kemenangan untuk Pasukan Tabuan 3-0.

Penyerang Pasukan Tabuan, Syaherrul Affendy mengawal bola ketika berdepan dengan Pasukan Indera SC.