Tabung Bantuan COVID-19 lebih $1.1 juta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Sebanyak $1,151,443.89 telah disumbangkan ke dalam Tabung Bantuan COVID-19 setakat pukul 4 petang, hari ini.

Jumlah terkini sumbangan dalam Tabung Bantuan COVID-19 itu dikongsi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri

Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, mengulas mengenai pembayaran pencen perkhidmatan dan pencen turunan bagi mereka yang sedang menjalankan Perintah Kuarantin, Yang Berhormat Dato berkata bahawa mereka yang menjalani kuarantin dan yang kurang sihat, boleh menanti sehingga mereka menamatkan tempoh kuarantin serta sesudah sihat untuk mendapatkan pencen masing-masing.

Mereka juga boleh mewakilkan ahli keluarga mereka bagi mengambil pencen berkenaan.

Sementara itu, bagi pencen umur tua, beliau berkata ia adalah di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di mana mereka boleh mewakili ketua kampung atau penghulu untuk mengambilkannya.

Para penerima tidak perlu bimbang kerana terdapat kaedah-kaedah disediakan bagi mereka mendapatkan pencen masing-masing.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani