Tabung bantuan COVID-19 terus terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Dalam sama-sama memainkan peranan, memberikan sokongan serta sebagai usaha tanggujawab sosial korporat, pihak syarikat swasta dan individu terus tampil untuk menghulurkan bantuan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama membendung dan menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa Tabung Bantuan COVID-19 menerima sumbangan cek $8,000 daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Bandar Seri Begawan yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah kepada Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin pada majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Ibu Pejabat, Kementerian Kesihatan, Berakas.

Di samping itu, kenyataan juga menyatakan bahawa dua penyumbang yang terdiri daripada syarikat swasta menghulurkan sumbangan pada 11 November lalu.

Penderma-penderma berkenaan ialah DCH Auriga yang menyumbangkan pensanitasi tangan manakala itu, Bank of China menyumbangkan pelitup muka.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa orang ramai yang ingin membuat sebarang sumbangan boleh berhubung terus dengan Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) melalui talian 7295712 pada waktu bekerja sahaja.

TYT Dato’ Raja Reza menyampaikan cek sumbangan untuk Tabung Bantuan COVID-19 kepada Haji Maswadi.
Sumbangan pensanitasi tangan daripada DCH Auriga.
Bank of China menyumbangkan pelitup muka kepada Kementerian Kesihatan.