Tabung COVID-19 terima $53,000

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menyumbangkan $53,000 kepada Tabung Bantuan COVID-19. 

Memandangkan situasi pandemik pada masa ini, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat dan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah telah menyerahkan replika cek sumbangan tersebut secara simbolik.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, sumbangan tersebut seterusnya akan diserahkan secara berasingan kepada Kementerian Kesihatan oleh seorang wakil dari Jabatanarah Keanggotaan, Kementerian Pertahanan.

Sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen dan tanggungjawab sosial Kementerian Pertahanan dan ABDB untuk membantu Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan jangkitan wabak COVID-19 yang melanda negara ini.

Kementerian Pertahanan dan ABDB menyumbangkan $53,000 kepada tabung COVID-19. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan