Tabung COVID-19 terima lebih $1.7 juta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Sehingga pukul 4:30 petang, hari ini, Tabung Bantuan COVID-19 telah menerima sumbangan keseluruhan berjumlah $1,731,466.81.

Jumlah terkini sumbangan dalam Tabung Bantuan COVID-19 dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi dan Kewangan Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media COVID-19 hari ini.

Sementara itu, mengulas pertanyaan jika dana dalam tabung berkenaan boleh digunakan bagi penyediaan makanan bagi mereka yang menjalani kuarantin, Yang Berhormat Dato berkata dana berkenaan merupakan sumbangan daripada orang ramai dan oleh itu, ia perlu menjalani audit.

“Jadi apa yang dibiayai oleh dana ini, kita perlu memastikan apa yang dibelanjakan, jadi mudah untuk kita kenal pasti.”

Beliau menambah lagi bahawa bagi pembiayaan melalui tabung berkenaan, bagi memudahkan pengauditan, barangan yang dibiayai perlu mudah untuk dilihat dan ianya berbentuk fizikal.

Dari segi penyediaan makanan khususnya untuk pesakit yang dikuarantin, ulasnya, terdapat beberapa usaha dilaksanakan untuk sama-sama menyokong dengan terdapatnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil ke hadapan untuk mengutip bantuan bagi tujuan berkenaan.