Tabung e-pembelajaran UTB bantu pelajar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah berjaya mengutip $6,448.40 daripada Kempen Sumbangan COVID-19 2.0 yang dianjurkan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan $2,469.69 daripada UTB Care 1.2 anjuran pelajar-pelajar daripada Projek dan Perkhidmatan Masyarakat ExCo dan Kelab Kesukarelawanan dan Perkhidmatan Masyarakat.

Menurut kenyataan UTB, kempen sumbangan itu dihasratkan untuk mengurangkan beban mereka yang terkesan oleh COVID-19 sejak bermulanya gelombang kedua penularan.

Kempen Sumbangan COVID-19 2.0 dan UTB Care 1.2 mengutip dana daripada kalangan kakitangan dan pelajar universiti yang diadakan bermula 19 hingga 31 Ogos bagi Kempen Sumbangan COVID-19 2.0 dan dari 13 hingga 18 September bagi UTB Care 1.2.

Berikutan edisi pertama pada 2020, Kempen Sumbangan COVID-19 2.0 telah dikembangkan kepada tiga inisiatif lain di mana inisiatif pertama daripada tiga inisiatif berkenaan telah diadakan pada 14 September lalu.

Menerusi inisiatif itu, 17 orang pelajar tempatan dan antarabangsa yang menetap di universiti dan Core Residential College menerima keperluan harian seperti makanan dan bekalan kebersihan di mana pengagihan itu diharap untuk menyediakan bekalan kepada pelajar-pelajar yang tidak berupaya membuat perjalanan balik ke rumah atau kampung halaman semasa kawalan pergerakan diperkenalkan.

Lim Chui Hua ketika menyampaikan sumbangan kepada Awang Kamarul Azam. – Gambar serahan UTB

Sementara itu, satu lagi inisiatif untuk menyokong pelajar-pelajar universiti dengan kesukaran pembelajaran maya, UTB telah melaksanakan tabung e-pembelajaran untuk membantu pelajar-pelajar yang berhadapan cabaran kewangan dengan penggunaan data Internet bagi pembelajaran dalam talian.

Jumlah keseluruhan sebanyak $1,500 telah dikumpulkan dan diberikan kepada 50 penerima dalam bentuk monetari menerusi perbankan dalam talian.

Manakala itu, inisiatif ketiga pula, jumlah kutipan sebanyak $3,500 telah diperuntukkan daripada kegiatan derma dan disalurkan langsung ke Tabung Bantuan COVID-19, 2021 yang diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dalam majlis penyerahan sumbangan pada 20 Oktober lalu.

Bagi mewakili UTB, sumbangan disampaikan oleh Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua kepada Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan, Awang Kamarul Azam bin Haji Mohamad.

Sementara itu, UTB Care 1.2 bermatlamat untuk menyumbangkan barangan keperluan kepada petugas-petugas barisan hadapan seperti syampu, cecair pencuci badan, pelitup muka dan sarung tangan di mana bekalan itu dihantar ke Kompleks Sukan RIPAS pada 18 November lalu.

Dengan hasrat untuk membantu dan mengurangkan lagi beban pelajar universiti dalam e-pembelajaran masa ini, Pejabat Hal Ehwal Pelajar menganjurkan satu lagi acara kutipan derma iaitu UTB Laptop Donation di mana derma dikutip dalam kalangan kakitangan UTB bermula dari 27 Okt hingga 2 Nov lalu.