Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tabung pengurusan jenazah dilancar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Penubuhan Tabung Pengurusan Jenazah Bagi Golongan Kurang Berkemampuan yang Beragama Islam Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dilaksanakan melalui pendekatan seluruh negara (Whole of Nation) di bawah kelolaan MKM di mana ia akan membolehkan orang ramai untuk menyumbang dan beramal jariah seangkat-angkat hati dalam bentuk bantuan kewangan.

    Sumbangan adalah tidak terhad kepada secara tunai tetapi dengan mengambil kesempatan terhadap kemudahan dan perkembangan teknologi yang sedia ada pada masa ini, melalui pembayaran secara dalam talian (online transfer).

    “Dengan pendekatan ini, adalah diharapkan tabung ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan tidak berbentuk one-off bagi membolehkan orang ramai beramal jariah secara berpanjangan.”

    Perkara itu dijelaskan oleh wakil Kumpulan Muazara, Awang Mohd Hafiizh bin Haji Osman selaku pengendali projek dalam kata alu-aluan semasa Majlis Perasmian Tabung Pengurusan Jenazah Bagi Golongan Kurang Berkemampuan yang Beragama Islam MKM yang berlangsung di Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian tabung berkenaan ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Profesor Dr Hajah Zohrah menyerahkan sumbangan daripada Kumpulan Muazara kepada Awang Mohd Yusof Halim selepas perasmian tabung yang berlangsung di UTB, kelmarin.
    Profesor Dr Hajah Zohrah menyempurnakan perasmian Tabung Pengurusan Jenazah Bagi Golongan Kurang Berkemampuan yang Beragama Islam MKM yang berlangsung di UTB, kelmarin.

    Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Awang Mohd Hafiizh menerangkan bahawa projek itu dikendalikan dengan kerjasama bersama pihak MKM dan sekumpulan pegawai yang sedang menjalani Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-31 yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan UTB.

    Tabung itu, jelasnya, bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keperluan fardu kifayah bagi orang-orang yang beragama Islam seperti pengurusan jenazah yang mana pengurusan jenazah merupakan tanggungjawab setiap Muslim.

    Ia juga bermatlamat untuk memupuk rasa saling bantu-membantu sesama Islam, menjadi wadah dan landasan saham dunia dan akhirat bagi para penyumbang serta meringankan bebanan kewangan bagi orang beragama Islam yang kurang berkemampuan.

    “Dengan adanya tabung ini secara langsung dapat menjaga maruah ahli keluarga yang berduka di samping menjaga dan menutup sebarang keaiban dan kekurangan yang dihadapi oleh golongan yang kurang berkemampuan terutama sekali berkaitan dengan kos tinggi yang diperlukan dalam melaksanakan dan menguruskan jenazah,” ujarnya.

    Dengan kutipan tabung itu, beliau berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang sedang berduka terutama dalam hal-hal berkaitan kos pengurusan jenazah bagi orang yang beragama Islam yang terdiri daripada klien MKM dan golongan-golongan yang memerlukan.

    Sementara itu, Presiden MKM, Awang Mohd Yusof Halim, selaku pengelola tabung berkenaan, dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa ramai yang mungkin kurang terfikir bahawa perbelanjaan pengurusan jenazah merupakan satu jumlah yang membebankan bagi golongan kurang kemampuan.

    “MKM juga sangat menyokong bahawa tabung seperti ini, bukan sahaja meringankan beban keluarga golongan berkenaan walhal memberi manfaat yang besar kepada penyumbang-penyumbang dan sekali gus meringankan bebanan kewangan masjid-masjid.”

    Beliau berkata lagi bahawa walaupun buat masa ini, tabung yang dilancarkan itu adalah terhad kepada golongan yang kurang berkemampuan yang terdiri daripada klien MKM, namun MKM mempunyai penuh harapan dan kepercayaan yang tabung itu, akan dalam jangka masa terdekat, dapat dilanjutkan kepada semua masjid-masjid untuk membantu pengurusan jenazah bagi golongan kurang kemampuan secara am dan bukan khusus kepada klien MKM.

    Majlis diteruskan dengan perasmian Tabung Pengurusan Jenazah Bagi Golongan Kurang Berkemampuan yang Beragama Islam MKM yang disempurnakan oleh Profesor Dr Hajah Zohrah.

    Orang ramai boleh membuat sumbangan ke tabung berkenaan secara dalam talian ke nombor akaun tabung. Maklumat mengenai tabung berkenaan boleh diperoleh melalui laman sesawang dan akaun media sosial MKM.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...