Tabung Sulawesi: TelBru sumbang $10,000

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Dis – Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah menyerahkan derma berjumlah $10,000 untuk Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) pada majlis yang diadakan di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, hari ini.

Sumbangan yang diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Holliday.

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin; Ketua Komunikasi Korporat TelBru, Haji Ideris bin Haji Ali; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Awang Abdul Rahman bin Haji Apong serta pegawai-pegawai kanan di KKBS.

TKBS juga menerima sumbangan derma sebanyak $10,000 dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta $500 lagi dari Volkswagen Brunei semasa Acara Riadah Berbasikal sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-57 pada 25 November lalu.

Kelab Golf ABDB pada 2 Disember lalu juga telah menyumbangkan derma sebanyak $1,620 yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menerima sumbangan TelBru untuk TKBS yang disampaikan oleh David Holliday.