Tabur bakti dengan menderma darah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Dengan hasrat untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan khususnya mereka yang memerlukan darah, Persatuan Graduan Taiwan Negara Brunei Darussalam, Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan dan Persatuan Perniagaan Taiwan telah mengadakan kempen menderma darah di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.

Kempen itu merupakan usaha pihak persatuan untuk membantu Pusat Pendermaan Darah menambah simpanan darah serta menyahut seruan daripada pusat tersebut supaya penderma darah tampil ke hadapan untuk menderma darah khususnya di bulan Ramadan.

Seramai 30 orang ahli persatuan dan sukarelawan hadir untuk menderma darah semasa kempen berkenaan termasuk wakil dari Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taiwan, Andrew H.C Lee.

Persatuan menyatakan bahawa menderma darah merupakan satu khidmat bakti masyarakat yang amat bermakna kerana para penderma darah mampu untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan darah.

Kempen itu adalah sebagai usaha dan kerjasama untuk menyahut seruan Pusat Pendermaan Darah bagi orang ramai untuk tampil ke hadapan menderma darah semasa Ramadan, jelas persatuan itu lagi. Ia juga memberikan peluang kepada ahli-ahli untuk meningkatkan kesedaran dengan mengamalkan nilai-nilai utama iaitu berkongsi dan menaburkan bakti kepada yang memerlukan.

Pihak persatuan juga menyatakan bahawa pelbagai acara kebajikan dan kegiatan amal akan dianjurkan oleh persatuan berkenaan dengan kerjasama pelbagai pihak untuk mendekati masyarakat setempat dan menjadi sebahagian daripada masyarakat menerusi kempen-kempen yang bermakna.

Ahli-ahli persatuan dan sukarelawan yang sama-sama hadir untuk menderma darah pada kempen yang berlangsung di Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS kelmarin .