Tadarus Al-Quran dimulakan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Tadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bermula pada malam ini dengan majlis pembukaan yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Majlis pembukaan telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama diikuti dengan Tadabbur Al-Quran oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Yussof bin Haji Majid sebelum tadarus Al-Quran dimulakan dari Surah Al-Baqarah oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian.

Manakala itu, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang dengan didahului bacaan Selawat Tafrijiyah tiga kali yang dipimpin oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yussop.

Tadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat merupakan salah satu aktiviti takmir di bulan Ramadan yang mendapat sambutan masyarakat Islam di negara ini.

Ia merupakan salah satu syiar untuk memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat di negara ini, sama-sama memperdengarkan bacaan Al-Quran sekali gus mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menyemarakkan bulan yang penuh berkat ini dengan amal ibadat semata-mata bagi meraih keampunan daripada Allah SWT.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri majlis pembukaan tadarus Al-Quran, semalam. – Gambar oleh Muiz Matdani