Tadika di S’wak boleh beroperasi dua sesi

KUCHING, 16 JUN – Taman didikan kanak-kanak (tadika) di Sarawak dengan bilangan kanak-kanak yang ramai, dibenarkan beroperasi dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang bermula 1 Julai ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ia bagi membolehkan kanak-kanak di setiap tadika mempunyai ruang  mencukupi untuk penjarakan sosial.

“Sekiranya bilangan (kanak-kanak tadika) ramai, bolehlah digunakan dua sidang iaitu sesi pagi dan sesi petang atau secara bergilir harian dan ini bergantung kepada persetujuan bersama antara ibu bapa dengan pengusaha (tadika),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata salah satu syarat untuk tadika di negeri itu beroperasi semula adalah jumlah kanak-kanak dalam setiap bilik mestilah dikurangkan lebih 50 peratus daripada jumlah maksima bilik bagi membolehkan penjarakan sosial. – Bernama