Tadika terbakar di Tawau, 44 murid, guru selamat

TAWAU, 26 OGOS – Seramai 44 murid dan guru Tadika Pasti Nurul Hannani, Jalan Tengku Osman di sini, selamat selepas bangunan tadika itu terbakar pada 2 petang tadi.

Ketika kejadian, seramai 38 murid terdiri daripada 20 kanak-kanak perempuan dan 18 kanak-kanak lelaki serta enam tenaga pengajar, berada di bangunan itu.

Timbalan Pengerusi Tadika Pasti Tawau Daramansah Ramansa berkata, guru-guru yang menyedari kejadian itu bertindak pantas membawa semua murid berkenaan keluar, dari kawasan kebakaran.

“Guru terlibat mengambil inisiatif membawa kanak-kanak itu ke kawasan selamat iaitu ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Chin, yang berdekatan.

“Orang awam yang turut berada di kawasan turut membantu guru-guru berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tawau Mohd Khushairi Deraman berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam berhubung kejadian itu pada 2:06 petang.

Mohd Khushari berkatan pihaknya sedang menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian. – Bernama

Seramai 44 murid dan guru Tadika Pasti Nurul Hannani, Jalan Tengku Osman, Tawau, selamat selepas bangunan tadika itu terbakar pada 2 petang kelmarin. – Bernama