Taeyang bakal jadi bapa

Kecoh di media sosial bila mana berita dari Korea mengesahkan Big Bang Taeyang, bakal menyambut kelahiran anak pertamanya bersama isteri tercinta aktres Min Hyo Rin tidak lama lagi.

Dipetik dari Soompi, agensi isteri Taeyang mengesahkan berita kehamilan artisnya itu dan sedang menanti kehadiran ahli keluarga baharu mereka dengan gembira.

Selain itu, agensi aktres tersebut memaklumkan hasrat Min Hyo Rin bahawa aktres tersebut ingin melahirkan anaknya dalam keadaan tenang justeru memohon agar orang ramai dapat memahaminya.

“Ianya benar Min Hyo Rin sedang menjangkakan dan dia menanti dengan gembira. Dia juga berharap dapat melahirkan dengan tenang dan minta semua memahami kerana tidak dapat respon pertanyaan lanjut.”

Pengumuman yang mengejutkan ini membuatkan ramai peminat setia Big Bang berasa teruja, dan membanjiri media sosial dengan ucapan tahniah buat Taeyang dan Hyo Rin yang bakal menyambut kelahiran anak pertama mereka.

Terdahulu Taeyang dan Hyo Rin bertemu pertama kali di set muzik video Taeyang 1AM pada tahun 2014, kemudian melangsungkan perkahwinan pada tahun 2018. Dan selepas tiga tahun berkahwin akhirnya kedua pasangan merpati sejoli ini bakal menimang cahaya mata pertama mereka. – Agensi

Taeyang, bakal menyambut kelahiran anak pertamanya bersama isteri tercinta aktres Min Hyo Rin tidak lama lagi. – Agensi