Oleh Amri HTZ
MEMASANG tag nama pada leher kucing kesayangan merupakan satu kemestian yang sering dilakukan oleh para pemelihara haiwan peliharaan.
Tag nama ini mampu menjadikan penampilan kucing anda nampak lebih menarik dan ia membolehkan anda untuk mengenali kucing-kucing yang mempunyai warna dan corak bulu yang sama. Selain bertujuan sebagai penanda nama-nama kucing, ia juga boleh dijadikan satu alat pengenalan untuk kucing yang sesat dengan meletakkan informasi-informasi penting pada tag tersebut seperti nombor telefon, alamat rumah dan sebagainya.
Bagi anda yang belum memiliki tag nama untuk kucing peliharaan di rumah, hal ini boleh diselesaikan dengan mencipta sendiri tanpa menempah dan perlu mengeluarkan wang untuk membelinya. Anda boleh menggunakan beberapa barang yang terpakai atau yang baru untuk merekanya. Selain untuk kucing peliharaan sendiri, lebihan barang-barang yang ada juga boleh menjana sumber pendapatan jika dijadikan sebagai satu perniagaan sampingan.
Barang yang diperlukan untuk membuat tag
Barang-barang yang diperlukan dalam proses pembuatan tag nama haiwan peliharaan ini ialah set stamp penebuk huruf (letter stamp punch), round hallow punch (penebuk lubang), tukul, leather (belulang), kancing, bench block barang kemas, gunting tahan lasak (heavy duty cutter), pita perekat, jarum, benang dan playar.



Proses pembuatan
Pada langkah pertama pembuatan, anda perlu menyediakan material yang terbuat daripada leather (belulang), kerana bahan ini mudah untuk diolah dan tahan lama. Potong leather yang disediakan mengikut saiz dan ukuran panjang yang bersesuaian dengan leher kucing anda. Kelebaran rantai tersebut tidaklah boleh melebihi daripada 3sm kerana ini mungkin menyukarkan kucing anda untuk bergerak sekali gus menjadikannya tidak selesa.
Setelah memotong leather tersebut, pasang kancing pada bahagian hujung salah satu sudut leather tersebut dan kukuhkan dengan menjahit menggunakan benang yang terbuat daripada nilon. Bagi lubang jarum kancing, anda boleh menggunakan mata gerudi bersaiz 0.8mm dengan menebuk tiga hingga kelima biji lubang untuk saiz yang mudah diubah-ubah.
Bagi anda yang ingin bentuk rantai yang bervariasi, anda bolehlah menambah pelbagai aksesori yang dirasakan sesuai dengan minat anda. Penggunaan manik-manik perhiasan yang sering digunakan pada pakaian bagi kaum wanita juga membolehkan rantai atau kalung yang direka bertambah cantik. Mungkin rantai yang direka juga boleh menjadi unik dengan hanya membuat lubang bulat secara berselang-seli dengan menggunakan hallow punch, jika anda memiliki peralatan tersebut.



Manakala jika anda memilih untuk hanya membuat bahagian plat nama untuk tag kucing peliharaan anda, memilih untuk membeli rantai kucing, langkah seterusnya ini bolehlah mula dilakukan. Sekeping plat aluminium atau tembaga yang telah disediakan perlulah dipotong kepada bahagian kecil sesuai dengan saiz yang diperlukan oleh anda. Plat yang dipilih perlulah terdiri dari bahan asas yang tahan karat kerana ditakuti memberikan kesan negatif kepada haiwan peliharaan anda.
Bench block untuk barang-barang kemas yang telah disediakan merupakan tempat sandaran untuk alat penebuk digunakan. Penggunaan alat ini bertujuan untuk tidak merosakkan penebuk huruf anda disebabkan material plat yang digunakan berbeza. Saiz penebuk huruf ini terdiri daripada pelbagai saiz. Bagi anda yang mempunyai nama kucing yang agak pendek, bolehlah memilih penebuk huruf bersaiz besar manakala jika anda ingin memasukkan informasi peribadi untuk kucing anda, perlulah memilih penebuk yang bersaiz kecil.
Bagi anda yang sukar untuk mendapatkan bench block tersebut, anda mempunyai pilihan lain selain daripada alat tersebut. Penggunaan kayu tebal sederhana keras bersaiz 2 x 4 inci juga boleh memberikan hasil akhir yang hampir sama. Cuma ketika penggunaan teknik ini, anda perlu berhati-hati mengetuk huruf yang dipilih kerana ditakuti plat yang digunakan akan bengkok keseluruhannya mengikut penebuk huruf tersebut memandangkan permukaan kayu adalah lembut daripada bench block.
Setelah selesai menebuk huruf pada plat tag tersebut, lubangkan pada salah satu sudut plat menggunakan gerudi sebelum menggantungkan tag tersebut pada rantai kucing anda. Cantumkan ring pada plat tag dan rantai dengan mengepitnya menggunakan playar. Setelah mencantumkan, rantai tag nama kucing anda yang telah direka sedia untuk digunakan!