Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Koroner Mahkamah di sini, semalam, memutuskan bahawa kematian seorang tahanan India di Jabatan Penjara Jerudong adalah akibat bunuh diri.
Mayat Sekar Appavu, 47, ditemui tergantung dalam sel penjaranya oleh banduan lain.
Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman dalam sebutan inkues (siasatan sebab kematian) memaklumkan Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin bahawa bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat Sekar Appavu mendedahkan kecederaan yang dialami adalah akibat gantung leher.
Sekar Appavu merupakan pekerja buruh di mana dia didakwa membunuh Rajendran Kumarasami, 45 dan juga cubaan membunuh Pazhanivelu Sivalink.
Kejadian berlaku dalam kes perkelahian di kawasan Universiti Brunei Darussalam pada 20 Disember 2014.
Pada Januari 2015, Mahkamah Tinggi menerima laporan penilaian psikiatri Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang mengatakan Sekar ‘tidak waras’.
Sekar Appavu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk dikurung dalam sel berasingan di Penjara Jerudong sementara menunggu keputusan tuduhan membunuh terhadapnya.
Kematian Sekar Appavu dalam sel tahanannya dimaklumkan kepada seorang warden oleh seorang banduan yang ketika itu ditugaskan untuk membawa sarapan pagi ke sel tahanan Sekar Appavu.
Mayat Sekar Appavu kemudian dibawa ke bilik kawalan dan apabila anggota paramedik tiba, mereka mengesahkan bahawa Sekar Appavu tidak lagi bernyawa.