Tahap gejala, aspek kesihatan kunci pemantauan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Semasa negara memasuki Fasa Peralihan, tidak dinafikan akan berlakunya peningkatan kes, berdasarkan pengalaman yang dapat dilihat di negara-negara luar.

Namun apa yang ingin dipantau semasa fasa ini ialah sejauh mana tahap gejala yang dialami oleh mereka yang dijangkiti dan impak serta cabaran daripada aspek keperluan kesihatan. Jika penilaian dilihat semakin serius maka sudah setentunya akan dilaksanakan langkah-langkah tertentu. Perkara tersebut antara yang dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengenai pandangan beralihnya negara ke Fasa Peralihan nanti.

Tekannya lagi, impak baik buruknya ini juga tertakluk ke atas kerjasama orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan tidak kira di mana.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut menambah bahawa dalam masa Fasa Peralihan ini, pihak kementerian akan melihat tahap jumlah orang ramai yang dijangkiti dan yang memerlukan rawatan khusus di hospital.

“Jika jangkitan bagi kategori 4 dan kategori 5 ini dilihat semakin bertambah semasa fasa ini maka ini yang dikhuatiri akan menjejaskan penjagaan keperluan kesihatan. Namun jika mereka yang menerima rawatan masih dapat dikawal dan kita masih dalam keadaan stabil maka kita masih dapat meneruskan ke fasa seterusnya,” jelasnya lagi.

Tahan kemasukan ke hospital akan dipantau bagi membolehkan menuju fasa seterusnya.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato turut menyarankan kepada seluruh masyarakat di negara ini, walaupun pelbagai kelonggaran diumumkan semasa Fasa Peralihan ini, namun orang ramai perlu sentiasa berwaspada agar tidak terlalu ghairah untuk keluar rumah tanpa sebarang keperluan.

“Perlu diingatkan juga, COVID-19 masih ada dan jika tiada keperluan, jangan keluar rumah. Meskipun sudah menerima suntikan vaksinasi sepenuhnya bukanlah bermaksud mereka sudah kebal atau tidak dapat dijangkiti namun gejalanya yang bakal diterima tidaklah begitu kuat,” tekan Yang Berhormat Dato lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa Fasa Peralihan ini merupakan satu ujian kepada negara kita selaku masyarakat sama ada mematuhi atau sebaliknya akan segala garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan oleh pihak kerajaan.

“Jika gagal itulah yang akan menjadi permasalahan utama untuk kita terus ke fasa seterusnya. Maka sama-sama kita saling mengingati antara satu sama lain.”

“Hal ini begitu penting untuk kita sama-sama melindungi,” tegasnya lagi.

Yang Berhormat Dato turut menyarankan salah satu cadangan khususnya bagi keluarga yang ingin berkumpul bersama untuk membuat ujian saringan ART terlebih demi sama-sama mengetahui akan tahap kesihatan serta sentiasa melindungi antara satu sama lain dari semasa ke semasa.