‘Tahap hutang cecah 55 peratus’

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negara dengan suntikan fiskal langsung kerajaan sebanyak RM45 bilion.

“(Tetapi), saya pernah menyebut beberapa kali bahawa 97 peratus hingga 98 peratus hutang kita adalah hutang dalam negeri (negara).

“Ini penting kerana ia bermakna dedahan kita terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad,” katanya ketika membentangkan Laporan Ke-10 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan PENJANA di laman Facebook beliau di sini, hari ini.

Dalam temu bual baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata suntikan fiskal langsung berjumlah RM10 bilion ke dalam PENJANA dijana menerusi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII). Beliau juga berkata Malaysia juga mempunyai kemampuan terhadap nisbah hutang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan. – Bernama