Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Tahap jangkitan UK mencecah angka rekod

    LONDON, 3 APRIL – Penularan COVID di United Kingdom (UK) kini mencecah paras rekod, kira-kira satu dalam 13 orang dianggarkan telah dijangkiti oleh virus dalam beberapa minggu kebelakangan, menurut angka terbaharu daripada pegawai agensi statistik Britain.

    Kira-kira 4.9 juta orang dianggarkan telah dijangkiti koronavirus dalam minggu berakhir pada 26 Mac, meningkat dari 4.3 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya, kata Pejabat Statistik Kebangsaan pada Jumaat. Peningkatan terkini adalah disebabkan oleh varian Omicron yang mudah berjangkit, BA.2, yang merupakan varian dominan di seluruh UK.

    Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dan kadar kematian turut meningkat sekali lagi, meskipun jumlah mereka yang terkorban akibat COVID adalah masih rendah berbanding pada awal tahun ini. Namun begitu, jangkaan terkini menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah jangkitan baharu sejak lewat Februari, apabila Perdana Menteri Britain, Boris Johnson membatalkan semua sekatan koronavirus di England, yang berterusan dengan baik pada Mac.

    Angka itu diterbitkan pada hari yang sama kerajaan menamatkan ujian besar-besaran percuma COVID bagi kebanyakan penduduk di England, di bawah pelan Johnson iaitu ‘hidup bersama COVID’. Penduduk yang tidak mempunyai masalah kesihatan yang menjadikan mereka lebih terdedah kepada virus kini perlu membayar untuk ujian sekiranya mereka dijangkiti. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...