Tahap kepatuhan Akta Kawalan Harga meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Tahap pematuhan peniaga bagi Akta Kawalan Harga dalam enam bulan pertama tahun 2019 mening-kat 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018 dan para peniaga digalakkan untuk terus mengekalkan tahap pematuhan tinggi terhadap undang-undang kawalan harga ini.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan dari tempoh Januari sehingga Jun 2019, kesalahan yang direkodkan adalah 63 merangkumi 23 kesalahan kompaun dan 40 notis amaran berbanding 89 kesalahan pada enam bulan pertama 2018.

Beberapa kesalahan kerap yang dilakukan termasuklah menjual minyak masak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan tidak meletakkan tanda harga pada barang yang dipamerkan.

Sehubungan dengan itu, JPKE menasihatkan para peniaga agar sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga dan peraturan-peraturan di bawahnya dengan memastikan harga jualan tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan dan diletakkan tanda harga lebih jelas bagi memelihara kebajikan pengguna di negara ini.

Bagi memastikan ia terus dipatuhi, JPKE akan terus memantau pemeriksaan rutin yang akan dilaksanakan di seluruh negara agar akta tersebut dipatuhi, begitu juga peraturan acara jualan murah bagi menggalakkan aktiviti jualan beretika.

Peniaga juga diingatkan mengenai manfaat pematuhan terhadap akta tersebut dan peraturan di bawahnya seperti menjaga dan mengekalkan reputasi baik syarikat dan mengukuhkan kesetiaan pengguna ke arah mewujudkan penggunaan domestik yang lebih berdaya tahan dan persekitaran perniagaan mapan di negara ini.

Selain itu, para peniaga juga dinasihatkan agar bersaing secara sihat dengan menawarkan harga kompetitif di bawah harga maksimum bagi 11 barangan tersenarai termasuklah minyak masak, susu tepung anak damit dan juga barangan tidak tersenarai dalam akta yang tertakluk kepada kuasa pasaran (market forces).

Kenyataan tersebut juga menjelaskan bahawa kesalahan berulang boleh dikenakan kompaun maksimum $20,000 dan penjara lima tahun oleh mahkamah.

Bagi keterangan lanjut mengenai fungsi kawalan harga, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna di talian 2230223 (waktu pejabat) dan talian hotline Darussalam 123.