Tahap merkuri tinggi dalam ikan Amazon

SAO PAULO, 30 JULAI – Hampir satu pertiga ikan dari Amapa, di Amazon, Brazil mempunyai tahap merkuri yang tinggi disebabkan kegiatan perlombongan haram sekali gus mendatangkan kemudaratan kepada manusia.

Mengikut kajian terbaharu berkaitannya, saintis Tabung Hidupan Liar (WWF) Brazil dan tiga institut penyelidikannya menemui tahap merkuri yang disifatkan sebagai mengejutkan pada lebih 400 ekor ikan yang dikumpulkan dari lima wilayah di Amapa, terletak di sempadan Guyana Perancis. Kajian itu membabitkan kumpulan ikan yang diperoleh dari sistem sungai berhampiran dengan kawasan alam sekitar yang dilindungi.

“Tahap itu melepasi had keselamatan pada 77.6 peratus ikan karnivor, 20 peratus omnivor dan 2.4 peratus herbivor,” kata mereka melalui kajian itu yang diterbitkan di Jurnal Kajian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Antarabangsa.

“Empat spesies dengan kepekatan merkuri tertinggi adalah antara yang paling banyak dimakan manusia di rantau ini. Jika salah satu spesies itu dimakan pada kadar lebih 200 gram boleh memudaratkan kesihatan seseorang,” katanya. Wakil WWF-Brazil, Marcelo Oliveira, berkata tahap merkuri yang tinggi di rantau ini disebabkan oleh perlombongan emas secara haram. – AFP

Nelayan menarik hasil tangkapan arapaima, juga dikenali pirarucu di barat rantau Amazon berhampiran Volta do Bucho di Brazil. Satu pertiga ikan di negeri Amapa mempunyai tahap merkuri tinggi disebabkan aktiviti perlombongan haram di Amazon. – AFP