Tahap pematuhan PKP Fasa Kedua di Sabah tinggi

KOTA KINABALU, 6 APRIL – Tahap pematuhan rakyat Sabah kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada fasa kedua secara keseluruhannya mencapai 96.8 peratus, iaitu pencapaian tertinggi sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass.

Beliau berkata sebanyak 40,000 kenderaan di jalan raya direkodkan di seluruh Sabah semalam, dengan 1,800 daripadanya di arah berpatah balik kerana keluar tanpa alasan kukuh.

“Polis telah membuat sebanyak 298 sekatan jalan raya di 74 lokasi seluruh Sabah selama 24 jam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan penutup hidung dan mulut untuk petugas barisan hadapan di Sabah daripada Yayasan Nur Jauhar di Istana Negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zaini berkata, seramai 40 individu di seluruh negeri ditahan semalam, dan menurutnya, polis akan bertindak lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang
untuk memastikan semua individu mematuhi arahan PKP.

Sementara itu, Panglima 5 Divisyen Mej Jen Datuk Muhammad
Hafizuddeain Jantan berkata selain terus bekerjasama membantu polis melakukan sekatan jalan raya, anggota tentera turut diminta membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah untuk mengedarkan bekalan makanan kepada penduduk di negeri ini.

“Kami juga terlibat dalam membantu pihak berkuasa untuk mewujudkan kemudahan pusat kuarantin alternatif. Buat masa ini, kami telah menyumbangkan katil medan di pusat kuarantin alternatif di Tawau dan Labuan,” katanya. – Bernama