‘Tahi bintang’ gegar Nicaragua

MANAGUA, 9 SEPTEMBER 2014 – lima tahun lalu, satu letupan misteri menggegarkan Managua, ibu negara Nicaragua yang sesak, telah mengakibatkan terbentuknya kawah besar yang kelihatan berpunca dari sebuah meteorit kecil, menurut pegawai-pegawai.

Lebih menghairankan, di bandar yang penuh dengan 1.2 juta penduduk itu, hentaman berhampiran lapangan terbang antarabangsa, tidak mengakibatkan sebarang kecederaan yang diketahui, tetapi ia mewujudkan kawah berukuran 12 meter lebar dan gegerannya telah dirasakan di keseluruhan bandar itu lewat Sabtu lalu. Pihak berkuasa Nicaragua percaya ia adalah satu asteroid kecil dinamakan ‘2014 RC’ yang melintasi bumi semalam dengan jarak begitu dekat dan besarnya dianggarkan oleh para ahli astronomi kira-kira 20 meter atau saiz sebuah rumah.

“Kami yakin bahawa ini adalah meteorit. Kami telah melihat kawah akibat hentaman itu,” kata Wilfredo Strauss dari Institusi Seismos.

Meteorit itu nampaknya meluru jatuh ke dalam kawasan berhutan dekat lapangan terbang sekitar tengah malam dan hentaman begitu besar sehinggakan ia direkodkan pada instrumen yang digunakan oleh pertubuhan Strauss untuk mengukur gempa bumi.

“Anda boleh melihat dua gelombang; pertama, gelombang seismos kecil apabila meteorit melanda bumi, dan kemudian satu lagi gelombang yang lebih kuat, iaitu bunyi hentaman,” katanya.

Pegawai-pegawai kerajaan dan juga pakar-pakar telah mengunjungi tapak hentaman itu semalam. Salah seorang daripada mereka, William Martinez berkata adalah belum jelas sama ada meteorit itu terbakar sepenuhnya atau jika ia telah meletup ke tanah.

Mereka yang tinggal berhampiran kawah itu memberitahu media tempatan mereka terdengar bunyi yang kuat yang mereka sangka adalah satu letupan dan cecair, pasir dan debu bertaburan di udara, yang baunya seperti sesuatu yang terbakar. – AFP